Angin Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kini ditiup.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat bahawa pilihan raya hampir tiba.

Katanya, parti itu harus memenangi kembali penguasaan dua pertiga kerusi dan tidak mengabaikan biarpun satu undi.

Tidak boleh tidak, wajib katanya, semua kerusi yang dimenangi dikekalkan di samping merampas kembali kerusi yang terlepas.

Empat rangkap pantun di akhir ucapan perasmian Perhimpunan Pergerakan Wanita Pemuda Puteri UMNO, Ahmad Zahid memberi petunjuk masa itu hampir tiba.

Pedang sudah di tangan,
Genggam erat strategi kemenangan,
Panglima sudah ke depan
Marilah kalian

Malah dalam rangkap kedua pantunnya, orang nombor dua parti terbesar Malaysia ini juga menggambarkan pemimpin tertinggi parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah bersedia memimpin parti berdepan PRU14.

Berucap di hadapan hampir 3,000 perwakilan tiga sayap UMNO itu, Ahmad Zahid berkata 7 Lembayung Arjana (Kejayaan) Bangsa yang digariskannya akan menjadi manifesto sebelum manifesto parti pada PRU14.

Satu siri jelajah negara kini dirancang bagi membolehkan beliau serta pemimpin UMNO menjelaskan akujanji UMNO itu kepada rakyat.

Amanat yang ditiupkan Naib Presiden UMNO itu disifatkan sebagai pembakar semangat jentera sayap.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata Pemuda akan memastikan maklumat salah dan fitnah diperangi habis-habisan.

Di samping itu, mereka juga akan pastikan UMNO mendapat sokongan besar 1.9 juta pengundi lelaki Melayu bawah 40-an.

Manakala Wanita pula akan memanfaatkan kekuatan jenteranya mendekati pengundi secara hati ke hati.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata cara tradisi itu juga membolehkan mereka menjadi 'mata' dan 'telinga' menyampaikan masalah rakyat kepada kerajaan.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula beri jaminan pergerakan pimpinannya akan bersama Wanita dan Pemuda membantu parti dalam PRU14 nanti.