KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa generasi muda menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pengkomputeran kuantum bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi global.
Beliau berkata penguasaan teknologi dan ilmu dalam bidang baharu itu penting kerana generasi muda merupakan kelompok yang akan meneroka serta menentukan hala tuju perkembangan teknologi negara pada masa hadapan.
“Maknanya teknologi baharu, sains baharu dan penyelidikan baharu dalam bidang sains dan teknologi, termasuk bidang ilmu baharu seperti AI, pendigitalan dan pengkomputeran kuantum, merupakan bidang ilmu baharu yang perlu diterokai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada Sabtu.
Berucap lanjut, Anwar berkata kerajaan perlu menyediakan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk menguasai ilmu serta teknologi baharu secara serius.
“Dan siapa yang menentukan? Bukan generasi saya (tetapi) generasi anak-anak ini. Meneroka alam dan disiplin baru ini, ini bidang anak-anak,” ujar beliau.
Dalam masa sama, Anwar mengingatkan supaya kemajuan teknologi tidak menyebabkan nilai moral, etika, budaya dan kemanusiaan diketepikan.
Beliau menjelaskan transformasi digital dan AI sememangnya diperlukan bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing, namun perkembangan itu perlu disertai nilai yang menjadi asas kepada masyarakat.
“Tapi bezanya kita tidak boleh lari dari nilai kita, warisan kita, budaya kita dan kemanusiaan kita. Jangan AI itu meleburkan nilai moral, etika dan kemanusiaan,” tegasnya.
Selain AI, beliau berkata golongan muda juga perlu diberi peluang menguasai pelbagai bidang ilmu dan bahasa bagi membentuk generasi yang mempunyai keupayaan serta pemikiran lebih luas.
Kerajaan juga, kata Anwar, akan terus memberi ruang kepada generasi muda untuk meningkatkan penguasaan ilmu, sebagai sebahagian daripada usaha membina Malaysia yang lebih maju.