ALOR SETAR: Polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 22 kes kecurian dan pecah rumah di sekitar Kota Setar dan Pendang dengan penahanan lima anggota 'Geng Bri'.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata mereka terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai 'Bri' berusia 36 tahun.

"Pada 29 Okt lepas, pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah telah menahan seorang lelaki sebelum tangkapan susulan terhadap tiga lelaki dan seorang wanita berusia 27 hingga 39 tahun pada 2 dan 6 Nov.

"Kumpulan yang aktif sejak awal tahun itu disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan, pecah rumah dan curi dalam bangunan dengan menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni, premis perniagaan serta rumah dalam pembinaan," katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata polis turut merampas sejumlah barangan yang dipercayai hasil curi antaranya dua motosikal, dua kereta dan sebuah van, manakala barangan yang tidak dijumpai dipercayai telah dijual kepada pihak lain oleh suspek.

"Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan urin mendapati mereka positif terhadap dadah jenis methamphetamin. Mereka direman hingga hari ini dan polis akan memohon sambungan reman pada esok," katanya.

Antara barang rampasan berhubung kes curi dan pecah rumah yang dipamerkan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar, 21 Nov 2023. --fotoBERNAMA

Dalam kes lain, Fisol berkata pihaknya menahan 10 lelaki berusia 24 hingga 46 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di dua kawasan berasingan sekitar Kulim, 15 Nov lepas.

"Polis merampas 18,000 liter diesel bersubsidi yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran dengan keseluruhan rampasan termasuk beberapa kenderaan dan wang tunai dianggar berjumlah RM349,850.

"Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Beliau berkata sejak Januari hingga November, polis bersama pelbagai agensi telah melaksanakan 25 serbuan dengan 70 tangkapan melibatkan rampasan diesel berjumlah 492,970 liter dan petrol berjumlah 1,500 liter dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

-- BERNAMA