KUALA LUMPUR: Para doktor kontrak di Malaysia bersepakat mengadakan hartal atau mogok umum pada 26 Julai ini susulan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu doktor kontrak ketika ini.

Perkara itu dinyatakan Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak menerusi satu surat yang ditujukan kepada pengarah-pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, pusat-pusat kesihatan daerah dan hospital-hospital.

Jelas sekretariat itu, isu-isu yang tidak disetujui adalah berkenaan perkara-perkara yang mereka rasa wajar untuk diperjuangkan.

“Isu doktor kontrak ini adalah isu yang penting di mana kami telah gariskan dalam memorandum yang telah kami edarkan sebelum ini, iaitu kami mahu semua doktor berjawatan kontrak diberikan penjawatan tetap dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Serta, kriteria kelayakan yang lebih telus dan terperinci diberikan mengenai pemilihan ke jawatan tetap.

“Perjawatan tetap adalah medium penting kepada kami untuk kami memajukan diri bagi menjadi doktor pakar, sekali gus memastikan kelestarian sistem kesihatan di negara kita,” memetik surat tersebut.

BACA: Doktor kontrak tidak akan hadir bertugas jika kerajaan gagal beri penjelasan

BACA: Kabinet akan teliti isu doktor kontrak, kos diperlukan mungkin RM2 bilion - PM Muhyiddin

Sekretariat itu menjelaskan, isu doktor kontrak bukan hanya golongan itu semata-mata, tetapi saling berkait rapat dengan kebajikan rakyat Malaysia.

Menurut mereka, ia adalah isu rakyat kerana sistem perubatan di Malaysia merupakan hak milik mutlak rakyat Malaysia yang telah membayar cukai untuk mendapat rawatan di fasiliti-fasiliti kerajaan.

“Sekiranya para doktor kontrak ini mengikut saranan Menteri Kesihatan untuk berpindah ke hospital universiti atau bertukar ke sektor swasta kerana kerajaan tidak lagi mampu mengambil doktor-doktor kontrak ke penjawatan tetap, nescaya perkara ini bakal menganggu-gugat taraf kesihatan rakyat negara ini," kata mereka

BACA: COVID-19 meruncing: Tangani segera masalah pelantikan doktor kontrak - Pakar

VIDEO: Lantikan Doktor | Doktor kontrak diminta bersabar, bertenang

Pandemik COVID-19, tegas mereka, membuktikan negara kekurangan dari segi sumber manusia dan petugas kesihatan yang bersama mengembleng tenaga dalam memastikan sistem kesihatan negara kekal utuh.

“Pandemik COVID-19 mengajar kita bahawa petugas-petugas kesihatan juga sudah ditekan sehingga ke keringat terakhir mereka.

"Ramai petugas kesihatan yang burnout akibat tidak dapat bercuti, beraya di perantauan, berkhidmat jauh daripada keluarga,” tambah mereka.

Justeru, mereka berharap pihak bertanggungjawab dapat menyediakan sandaran atau petugas sewajarnya pada tarikh 26 Julai itu nanti.

Malah, sekretariat itu turut menyeru kepada semua pihak agar memberi sokongan kepada mereka dalam menyampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan melalui hartal ini.