KUALA LUMPUR: Dalam usaha menyatakan bantahan ekoran kenaikan harga barang, Gerakan Nadi Rakyat mengadakan siri flashmob di lapan lokasi.

Penyelaras Gerakan Nadi Rakyat, Anas As-Said Zaharuddin mengesa pihak kerajaan lebih bertanggungjawab dan merangka solusi menyeluruh.

"Sebagai rakyat marhaen, isu kenaian harga barang kini menjadi suatu isu yang dekat dihati rakyat dan memberi kesan yang besar.

"Apabila negara dilanda pandemik COVID-19 dan ketidak stabilan politik negara, ianya paling banyak memberi kesan kepada rakyat. Rakyat kehilangan kerja, jumlah pengangguran semakin meningkat.

"Mereka yang berniaga kehilangan modal berniaga serta hilang mata pencarian, kuasa membeli semakin berkurang, akhirnya golongan berpendapatan rendah dan miskin semakin terdesak dan tertekan akibat kemelut ekonomi dan kenaikan harga barang," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menganjurkan program Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan barang keperluan harian pada harga lebih murah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif itu adalah antara usaha meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang ketika ini.

Program Jualan Keluarga Malaysia diadakan bermula 4 Disember di semua 222 kawasan Parlimen.

Sementara itu bagi langkah menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini, KPDNHEP akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini berkata, skim itu yang turut akan memastikan keberadaan bekalan di pasaran berkuat kuasa pada 7 hingga 31 Disember 2021.