MERSING: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah perolehan sesuatu aset komando mestilah dibuat mengikut kehendak dan keperluan yang diberikan oleh Gerup Gerak Khas (GGK) dań bukannya ditentukan pihak lain.

Titah Baginda, peralatan ketenteraan amat penting untuk pasukan GGK menggalas tugas yang diberikan, selain daripada kekuatan anggota yang ada.

Baginda yang juga Kolonel Komandan GGK, turut bertitah dengan mengingatkan Kementerian Pertahanan supaya tidak sesuka hati membuat perolehan aset untuk Gerak Khas tanpa merujuk baginda.

“Jangan bazirkan duit kerajaan dengan menerima sahaja peralatan yang dijual oleh ejen pembekal sedangkan peralatan tersebut tidak sesuai dengan Gerak Kerja Komando.

“Suka juga saya ingatkan kepada pihak Kementerian, apabila membuat sesuatu perolehan aset, jangan lupa sediakan peruntukan untuk penyelenggaraan aset tersebut.

“Tidak guna membeli barang kalau tidak mampu dijaga. Cubalah bandingkan bot dibeli oleh komando sendiri dengan bot yang saya belikan, yang mana masih dalam keadaan baik dan yang mana sudah rosak tersadai di stor simpanan?” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-57 di Padang Kawad Markas 21, Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, di sini, hari ini.

Baginda turut bertitah, teguran yang dibuat itu bukanlah sesuatu yang baharu, namun perkara berkenaan masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.

“Ingat pesanan saya, saya berdiri di sini sebagai Kolonel Komandan Gerak Khas yang memikul amanah bukan sebagai patung untuk menghiasi upacara majlis sahaja,” titahnya.