MALAYSIA
Global Sumud Flotilla: Semua 23 delegasi Malaysia ditahan Israel selamat, sihat - KP SNCC

Sani Araby memberikan perkembangan mengenai nasib delegasi Malaysia menyertai Global Sumud Flotilla yang ditahan Israel dalam sidang media harian di Pusat Kawalan Sumud Nusantara, Sepang pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
SEPANG: Semua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla ke Gaza disahkan dalam keadaan selamat dan sihat walaupun kini menjadi tawanan pihak Israel.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata maklumat itu diterima selepas peguam dilantik melalui Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) berjaya mengadakan pertemuan dengan mereka.
“Kita boleh maklumkan pada petang ini kesemua delegasi Malaysia ditemui dalam keadaan selamat dan sihat oleh pihak peguam yang menjadi wakil rasmi di sana.
"Setakat ini kita tidak menerima sebarang tuntutan daripada pihak Israel untuk Malaysia. Untuk negara lain saya tidak ada maklumat, namun kita mengikuti rapat keseluruhan 45 negara yang menyertai GSF melibat 495 delegasi,” kata Sani dalam sidang media harian di Pusat Kawalan Sumud Nusantara, di sini pada Jumaat.Tambah beliau, usaha diplomatik pada tahap maksimum sedang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak sebagai penaung rundingan antarabangsa bagi membawa pulang delegasi Malaysia ditahan Israel.
“Perdana Menteri kita memainkan peranan sebagai perunding utama. Beliau sendiri menghubungi Presiden Turkiye, pemimpin Qatar dan setiausaha Amerika Syarikat bagi memastikan pembebasan segera rakyat Malaysia. Ini membuktikan komitmen kerajaan yang pantas dan serius.
"Kerajaan Turkiye bersetuju untuk melaksanakan sesi negosiasi dan insyaAllah dalam sehari dua lagi, delegasi Malaysia dan rakyat Turkiye akan dibawa terbang ke Istanbul sebelum seterusnya pulang ke Malaysia," ujarnya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami