Golongan belia dan lepasan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seharusnya mensasarkan untuk menjadi “job creators” iaitu berusaha mewujudkan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata ia bagi mengurangkan sikap kebergantungan untuk mencari pekerjaan selepas tamat pengajian di sektor swasta mahupun kerajaan.

Ia sejajar dengan apa yang terkandung dalam aspirasi Transformasi Nasional 50 (TN50) yang mahukan golongan muda yang memiliki nilai kemahiran tinggi dan mempunyai keazaman untuk menjadi usahawan, peniaga ataupun pekerja berkemahiran tinggi.

“Tetap akan ada yang mencari pekerjaan, tetapi kita hendak mengimbangkan lagi antara mereka yang mencari pekerjaan dan mereka yang ada peluang dan ada idea, yang ada kreativiti mewujudkan syarikat mereka sendiri ataupun perniagaan mereka sendiri untuk menjadi seorang yang dapat mewujudkan pekerjaan," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan sesi dialog pada program “Aspirasi TVET masa Depan Negaraku” di sini hari ini.

Program itu dihadiri lebih 500 pelajar kemahiran awam dan juga mereka yang terlibat dalam industri kemahiran.

Tambah Khairy, kerajaan juga tidak lagi perlu menjadi pilihan majikan terakhir untuk golongan belia pada masa depan.