KUALA LUMPUR: Google melancarkan program latihan digital terbaharunya pada Khamis, diberi nama Gemilang yang menawarkan pembelajaran lebih fleksibel kepada semua rakyat Malaysia.

Bahkan, syarikat gergasi antarabangsa itu turut menawarkan 31,000 biasiswa Sijil Kerjaya Google kepada rakyat Malaysia dalam membekalkan peluang latihan inklusif kepada mereka yang terpilih.

Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo berkata, Sijil Kerjaya Google disediakan dalam platform Coursera dan membolehkan pelajar, walaupun tiada sebarang pengalaman atau ijazah memperolehi sijil dalam enam bidang.

Bidang tersebut ialah analisis data, sokongan teknologi maklumat (IT), automasi IT, pengurusan projek, Reka Bentuk UX dan pemasaran digital serta e-dagang.

“Untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital dapat menyokong seramai mungkin rakyat Malaysia, kita komited untuk meyokong sebuah ekosistem digital yang lebih saksama dan inklusif.

“Sebuah ekosistem yang dibina untuk setiap rakyat Malaysia, dan ini merupakan sebuah visi yang tidak boleh dilakukan secara sendirian.

“Kami di Google Malaysia, bersama rakan-rakan kami, ingin memberi peluang mendapat kemahiran digital untuk memanfaatkan semua rakyat Malaysia dari semua latar belakang.

“Melalui Gemilang, lagi ramai rakyat Malaysia akan dapat mengakses peluang latihan, mempelajari kemahiran baharu, mencari pekerjaan dan membina kerjaya mereka dalam ekonomi digital ini sambil ia berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pelancaran program terbaharu daripada Google, Gemilang di ibu pejabatnya di sini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Khamis.

Menurut Marc Woo, setiap sijil yang disediakan dicipta pakar daripada Google dan direka untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran asas melalui pembelajaran secara ‘hands-on’.

Katanya lagi, syarikat itu kini telah membentuk konsortium majikan, menghubungkan graduan dari Gemilang dengan majikan yang mengiktiraf kelayakan tersebut dan kemahiran digital.

Astro AWANI juga merupakan sebahagian syarikat yang turut sama merupakan rakan strategik untuk program latihan digital disediakan Google itu. 

“Google juga terus membantu pemilik perniagaan mengembangkan perniagaan mereka dalam talian melalui Google Primer, aplikasi mudah alih percuma yang menawarkan pelajaran yang mudah difahami dan interaktif dalam masa lima minit,” ujarnya.