URA-URA mengatakan Google menangguhkan pelancaran model AI terkini mereka Gemini ke tahun depan nampaknya jauh tersasar selepas ia dilancarkan sebentar tadi.

Gemini ialah model AI yang terbesar dan paling berkuasa pernah dibangunkan oleh Google dengan bantuan DeepMind dan Google Research.

Gemini 1.0 ditawarkan dalam tiga saiz berbeza mengikut keperluannya. Gemini Ultra ialah model paling berkuasa dengan kemampuan menyelesaikan tugasan kompleks.

Gemini Pro pula ialah model terbaik yang serasi digunakan untuk pelbagai tugasan.

Akhir sekali ialah Gemini Nano yang adalah model yang boleh dijalankan pada peranti mudah alih bagi menawarkan AI secara tersedia.



Menurut Google, Gemini mencatatkan markah tertinggi berbanding model LLM yang lain dalam 30 daripada 32 ujian penanda aras yang telah dilakukan.

Ia adalah model multi modal yang boleh memahami maklumat dalam bentuk teks, imej, audio, video dan kod.

Antara kemampuan Gemini 1.0 yang diperlihatkan ialah membaca lebih 250,000 jurnal kajian untuk topik tertentu dalam masa yang sama diambil untuk makan tengah hari.

Kemudian pengguna boleh mengarahkan Gemini untuk menapis jurnal yang paling relevan dengan topik yang sedang dikaji. Dengan kemampuan multi modal, kesemua grafik dalam jurnal boleh difahami olehnya.



Bagi golongan ibu bapa pula, ciri membantu menyelesaikan kerja sekolah anak-anak mungkin yang paling menarik.

Kerja rumah dan cara kerja matematik boleh diperiksa oleh Gemini berdasarkan gambar yang dimuat naik.

Jika jawapan matematik yang ditulis anak adalah salah, Gemini boleh menerangkan di mana kesilapan dilakukan serta menunjukkan cara kerja yang betul.


Gemini juga boleh menghasilkan kod berdasarkan bahasa pengaturcaraan popular seperti Python, Java, C++, dan Go.

Menggunakan Gemini, AI AlphaCode 2.0 telah berjaya dibangunkan dengan kemampuan lebih tinggi berbanding AlphaCode yang diperlihatkan tahun lalu yang mampu menghasilkan kod sebaik manusia.

Pada waktu ini Gemini Pro akan mula diintegrasikan ke dalam produk seperti Bard. Ia boleh diakses pengguna Bard di 170 negara bermula hari ini tetapi dalam Bahasa Inggeris sahaja.

Ini seakan mengesahkan laporan sebelum ini bahawa Gemini mempunyai isu menghasilkan jawapan dalam bahasa selain Inggeris.



Gemini Nano akan diberikan kepada peranti Pixel 8 Pro dengan ciri Summarize dalam aplikasi Recorder.

Tetapi bermula tahun depan ia turut akan menambah baik kemampuan Smart Reply di Gboard di WhatsApp sebelum dikembangkan kepada produk Google yang lain secara berperingkat.

Akhir sekali Gemini Ultra masih dalam proses ujian keselamatan dan perincian saat akhir oleh sebilangan kecil pelanggan, rakan niaga dan pembangun sebelum ditawarkan kepada pelanggan perniagaan bermula awal 2024. -Amanz