KUALA LUMPUR: Google menduduki tempat pertama untuk tahun kedua berturut-turut menjadi perkhidmatan internet paling popular, dengan Facebook menduduki tempat kedua, diikuti Apple dan TikTok, menurut syarikat awan ketersambungan, Cloudflare dalam laporan Kajian Tahun 2023.

Bagaimanapun, Facebook disenaraikan sebagai platform media sosial paling popular, mengatasi peneraju pada 2022, TikTok yang menduduki tempat kedua, diikuti Instagram dan Twitter/X, menurut Cloudflare dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, OpenAI menduduki tempat pertama sebagai Generative AI Service paling popular diikuti Character AI, Quillbot dan Hugging Face.

Di peringkat global, sektor kewangan merupakan industri yang paling banyak disasarkan, menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, dua jenis serangan utama ialah pautan yang mengelirukan dan cubaan peras ugut dalam e-mel.

Sementara itu, terdapat lebih 180 gangguan Internet di seluruh dunia pada 2023 berbanding lebih 150 pada 2022.

"Pada 2023 sahaja, terdapat peningkatan sebanyak 25 peratus untuk trafik global, dengan tiada tanda-tanda perlahan," menurut laporan itu.

"Pertumbuhan ini menggariskan kebergantungan kepada perkhidmatan Internet untuk memudahkan dan menyokong sistem dan tugas yang penting, seperti menyokong ekonomi digital global, membolehkan operasi rangkaian penjagaan kesihatan, mengekalkan kesinambungan perniagaan untuk perusahaan dan akhirnya, menghubungkan orang ramai dengan komuniti mereka," menurut Cloudflare.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Cloudflare Matthew Prince berkata kedudukan syarikat membolehkan mereka memantau trend dalam talian dan teknologi baharu dalam masa nyata, seperti peningkatan AI dan penggunaan Starlink yang meluas.

"Ia menjadi tanggungjawab kami untuk telus serta berkongsi data dan perspektif daripada laporan seperti Kajian Tahun 2023 kami untuk membantu memastikan dunia dalam talian lebih bermaklumat, berdaya tahan dan selamat," katanya.

-- BERNAMA