Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Muzium perlu terus berkembang sebagai ruang pendidikan, pembelajaran - Aaron

Mengadakan pertemuan bersama warga kerja Muzium Tekstil Merdeka (MTM) yang terletak di Merdeka 118, Kuala Lumpur. Muzium ini mengetengahkan Koleksi Khazanah Azah Aziz sebagai antara tarikan utamanya, menghimpunkan koleksi peribadi tokoh budaya Allahyarhamah Azah Aziz yang merangkumi 240 busana tradisi dan 69 barangan kemas klasik, termasuk sarung songket, Baju Kurung Limar dan Tekat Emas. Khazanah ini bukan sekadar koleksi pameran, tetapi menjadi wadah penting dalam memelihara sejarah, _FB Aaron Ago Dagang
Aaron bergambar bersama warga kerja MTM yang terletak di Merdeka 118, Kuala Lumpur. - Gambar Facebook Aaron Ago Dagang
Advertisement

KUALA LUMPUR: Institusi muzium perlu terus berkembang bukan sahaja sebagai pusat pemeliharaan khazanah, malah sebagai ruang pendidikan dan pembelajaran yang menghubungkan generasi hari ini dengan sejarah, identiti serta warisan negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Muzium Tekstil Merdeka (MTM) yang terletak di Merdeka 118, di sini adalah antara institusi yang mengetengahkan warisan tekstil negara menerusi pendekatan lebih kontemporari dan interaktif.

Beliau berkata muzium itu mengetengahkan Koleksi Khazanah Azah Aziz sebagai antara tarikan utamanya, menghimpunkan koleksi peribadi tokoh budaya Allahyarhamah Azah Aziz, yang merangkumi 240 busana tradisi dan 69 barangan kemas klasik, termasuk sarung songket, baju kurung limar dan tekat emas.

“Khazanah ini bukan sekadar koleksi pameran, tetapi menjadi wadah penting dalam memelihara sejarah, seni tekstil dan warisan budaya negara.

“Menariknya, MTM turut membawa pendekatan kontemporari yang mesra generasi muda melalui penggunaan teknologi digital, instalasi interaktif serta pengalaman realiti terimbuh (AR), sekali gus memberikan nafas baharu kepada usaha memperkenalkan motif, tenunan dan seni tekstil tradisional kepada masyarakat,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Aaron mengadakan pertemuan bersama warga kerja MTM.

Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia komited untuk terus memperkukuh ekosistem permuziuman negara agar kekal relevan, inklusif dan dekat dengan masyarakat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement