Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 berjaya mencapai kejayaan 104 peratus daripada sasaran keseluruhan pada 2013, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sukacita saya ingin mengumumkan bahawa GTP telah berjaya mencapai kejayaan sebanyak 104 peratus daripada sasaran keseluruhan pada 2013," katanya ketika melancarkan Laporan Tahunan GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2013 di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada Isnin.

Laporan tersebut juga menunjukkan 5 daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menjadi pemacu utama kepada cabang Program Transformasi Nasional (NTP).

Program transformasi tersebut telah dilancarkan oleh kerajaan sudah hampir lima tahun dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Jelas Najib dalam ucapannya, piawaian tinggi telah diletakkan kepada inisiatif GTP 2.0 yang telah mencabar pasukan pelaksanaan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) berbanding keberhasilan GTP 1.0.

Menurut beliau, pemberian tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.91 bilion, telah berjaya memberi manfaat kepada lebih 4.8 juta isi rumah berpendapatan rendah.

Jelasnya, pada tahun 2013 sahaja, ETP menyumbang RM7.4 bilion kepada PNK dengan menawarkan 29,373 peluang pekerjaan baru dalam usaha memacu pelaburan bernilai RM8 bilion.

Katanya NKEA yang menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) adalah minyak sawit dan getah, Greater Kuala Lumpur; perkhidmatan kewangan; minyak, gas dan tenaga; serta perkhidmatan perniagaan.

Kata Najib, sumbangan keseluruhan PNK 5 NKEA tersebut adalah RM810.9 bilion dan mewujudkan 934,300 peluang pekerjaan.

NKEA minyak sawit dan getah menyumbang 230.9 bilion PNK merangkumi 41,600 peluang pekerjaan membabitkan usaha membangunkan kemudahan biogas di kilang minyak sawit, meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) dan mempercepatkan pertumbuhan produk makanan dan kesihatan dalam segmen hiliran.

Bagi Greater Kuala Lumpur pula, dengan nilai RM190 bilion PNK, ia menyediakan 320,000 pekerjaan baru terus berkembang menerusi usaha InvestKL dalam menarik 100 syarikat multinasional.

"Greater Kuala Lumpur menerusi usaha InvestKL telah menarik 100 syarikat multinasional," kata Perdana Menteri.

Menurut laporan, NKEA perkhidmatan kewangan dengan nilai PNK RM180.2 bilion pada jumlah pekerjaan baru yang ditawarkan sebanyak 275,400 membabitkan usaha mencergaskan semula pasaran ekuiti Malaysia, memperkukuh dan memperluaskan pasaran bon disamping menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global yang unggul.

Bagi NKEA minyak, gas dan tenaga, ia menyumbang RM131.4 bilion PNK dengan 52,300 pekerjaan baru menerusi inisiatif mencergaskan semula telaga sedia ada menerusi pemerolehan minyak tertingkat (EOR) dan menggalakkan pelaburan dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE).

Kata Najib, dengan sumbangan RM78.7 bilion PNK dan 245,000 pekerjaan baru, NKEA perkhidmatan perniagaan membabitkan usaha mengembangkan perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat dalam industri penerbangan, membina pihak pembekal perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar yang berdaya saing di peringkat antarabangsa dan menempatkan Malaysia sebagai hab pusat data bertaraf dunia.

Dalam pada itu, Najib berkata sasaran negara bagi PNK adalah berdasarkan PNK per kapita Bank Dunia bagi ekonomi berpendapatan tinggi iaitu USD$12,276, di samping mengambil kira angka penanda aras inflasi global lampau Bank Dunia iaitu 2 peratus sehingga tahun 2020.