Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebentar tadi.

Perkara itu disahkan SPRM selepas bekas menteri kewangan itu hadir sekali lagi ke ibu pejabat suruhanjaya tersebut pada jam 9.10 malam tadi.

Menurut sumber SPRM, beliau telah ditahan pada jam 9.30 malam Khamis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki menerusi mesej ringkas kepada Astro AWANI turut mengesahkan penahanan tersebut.

SPRM menerusi satu kenyataan media pada Khamis malam turut memaklumkan telah mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara bagi menuduh Guan Eng berhubung kes terowong dasar laut di Pulau Pihang pada esok pagi (7 Ogos) di Mahkamah Khas Rasuah di Jalan Duta di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang bawah akta yang sama.

Selain itu, Guan Eng juga dimaklumkan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah akta yang sama pada 11 Ogos ini bagi kes berlainan pula.

Kenyataan SPRM

BACA: Guan Eng hadir sekali lagi ke SPRM


Pada Ahad 26 Julai lalu, Setiausaha Agung DAP itu hadir ke ibu pejabat SPRM untuk kali ketiga bagi memberi keterangan berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion.


Beliau meninggalkan bangunan SPRM pada jam 7 malam ditemani Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selepas lapan jam memberi keterangan.