MUNICH: Bintang Oasis Liam dan Noel Gallagher masih dialu-alukan di hotel mewah Bayerischer Hof di Munich walaupun berlaku insiden pergaduhan membabitkan Liam lebih dua dekad lepas, menurut pihak hotel.
“Sudah tentu, dua beradik itu sentiasa dialu-alukan di sini,” kata jurucakap hotel kepada Agensi Berita Jerman (dpa) selepas kumpulan itu mengumumkan tarikh konsert baharu di Munich.
“Walaupun selepas insiden ketika itu, pintu kami sentiasa terbuka untuk mereka.”
Insiden itu berlaku pada malam 1 Dis 2002 apabila Liam Gallagher dan dua anggota kumpulan berkenaan ditahan selepas terlibat dalam pergaduhan di Munich. Noel Gallagher tidak terbabit dalam kejadian itu.
Liam ditahan semalaman.
Pengurus hotel Innegrit Volkhardt kemudian berkata Oasis bukan satu-satunya pihak yang harus dipersalahkan dan hotel berkenaan tetap mengalu-alukan kedatangan mereka semula.
Peluang itu mungkin tiba tahun depan apabila Oasis dijadual mengadakan persembahan di Allianz Arena, Munich pada 2 dan 3 Julai 2027.
Konsert itu akan menjadi penampilan pertama kumpulan berkenaan di Jerman sejak 2009.
-- BERNAMA-dpa