PAS meminta Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya tidak bercakap sesuka hati dengan mencadangkan supaya PAS cepat-cepat bergabung dengan UMNO.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Lim Guan Eng sepatutnya belajar menghormati orang lain dan berdiam diri daripada melontarkan pandangan yang merapu.

“Saya nak nasihatkan dia agar belajar untuk berdiam diri dan jangan cakap merapu sebab saya tengok kebelakangan ini Lim Guan Eng merapu cakapnya dan angkuh dengan kenyataannya.

“Jadi saya ingin menasihati supaya belajar untuk hormati orang lain dan ada masa kita patut berdiam diri,” ujar Mohd Amar.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menjelaskan, kenyataan dikeluarkan oleh Guan Eng yang meminta PAS bergabung dengan UMNO itu di lihat tidak masuk akal kerana PAS tetap dengan pendiriannya tidak akan bergabung dengan UMNO.

Sebaliknya, kerjasama dalam urusan selain parti itu perkara berbeza kerana PAS berpandangan boleh bekerjasama dengan UMNO untuk urusan kepentingan negara, agama dan masyarakat.

Katanya, ramai tidak faham konsep kerjasama tersebut kerana mereka mendakwa kerjasama itu ialah bergabung dengan UMNO.

Katanya UG atau kerajaan perpaduan yang dicetuskan sewaktu zaman bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan satu kerajaan tanpa pembangkang dan bukannya bermaksud PAS masuk UMNO.

UG sama dengan konsensus nasional seperti yang pernah dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu.