KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan hingga Mac 2027, dengan kekuatan 4,870 anggota serta 55 bot bagi operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir di negeri ini.
Ketua JBPM Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata kekuatan itu merangkumi 1,142 pegawai dan anggota, 632 anggota daripada 29 pasukan Bomba Sukarela serta 3,096 anggota Bomba Komuniti yang turut membantu operasi menyelamat ketika bencana.
Beliau berkata jabatan itu turut mempunyai 13 lori, 38 kenderaan utiliti dan 12 ambulans bagi menyokong operasi kecemasan, selain memastikan semua aset serta kelengkapan keselamatan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa.
“Persiapan awal penting kerana banjir boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang musim tengkujuh ini. Justeru, kita perlu memastikan anggota dan aset berada dalam keadaan bersedia untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa.
"Bagi anggota dan pegawai, cuti mereka belum dibekukan tetapi kita pastikan 70 peratus daripada mereka bertugas,” katanya kepada pemberita pada Program Hari Pengujian dan Pemeriksaan Logistik Operasi Banjir Sempena Kesiapsiagaan MTL 2026/2027 di Jeti Shahbandar di sini hari ini.
Beliau berkata pemantauan turut dilakukan di 763 kawasan hotspot banjir berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang dengan rondaan dimulakan jika hujan lebat berterusan selama lima jam.
Pada program itu, 45 pegawai dan anggota daripada lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) sekitar Kuantan terlibat dalam pemeriksaan aset bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir.
Selain itu, Mohd Razam berkata pihaknya turut menempatkan dua pasukan Gerak Cepat di BBP Indera Mahkota dan Bukit Rangin bagi membolehkan tindakan awal dilakukan, terutama di kawasan yang sukar dimasuki pasukan penyelamat.
“Daerah Kuantan sendiri mempunyai kekuatan 235 pegawai dan anggota serta 18 bot, 15 kenderaan utiliti, 202 peranti pengapungan peribadi (PFD), tujuh unit throw bag dan 37 pelampung bagi menyokong operasi menyelamat serta pemindahan mangsa banjir,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai sentiasa peka terhadap amaran cuaca dan maklumat banjir daripada agensi berkaitan, mengelakkan kawasan berisiko serta menyediakan dokumen penting, ubat-ubatan dan bekalan keperluan asas lebih awal.
“Jangan jadikan kawasan banjir sebagai tempat beriadah, bermain air atau memancing kerana arus boleh berubah secara mendadak dan mengancam nyawa,” katanya.
-- BERNAMA