KOTA KINABALU: Dari sebuah bilik darjah di pedalaman Sabah, seorang guru berketurunan Rungus Lorenica Frenila Masundim, 36, membawa misi yang lebih besar daripada sekadar mengajar tulisan Jawi, apabila berusaha menjadikannya sebagai jambatan yang mendekatkan murid dan masyarakat merentasi perbezaan kaum, agama dan budaya.
Guru Sekolah Kebangsaan Bawang K9 di Beluran itu, melihat pembelajaran Jawi sebagai ruang untuk memperkenalkan warisan bahasa kebangsaan kepada murid, khususnya mereka yang pada awalnya menganggap tulisan Jawi asing dan hanya berkait dengan agama Islam.
Bagi Lorenica, pengalaman melihat murid bukan Islam yang pada mulanya langsung tidak mengenali huruf Jawi, sehingga mampu membaca dan memahami fungsinya sebagai salah satu sistem tulisan bahasa Melayu, memberi kepuasan tersendiri sebagai seorang pendidik.
“Ada murid yang sebelum ini mengatakan Jawi terlalu sukar, tetapi selepas mengikuti pembelajaran menggunakan teknik transliterasi melalui aplikasi yang saya hasilkan, mereka berjaya membaca dalam tempoh yang singkat. Mengubah kefahaman murid terhadap tulisan Jawi, memberi kepuasan yang sukar digambarkan sebagai seorang guru,” katanya kepada Bernama.
Latar belakangnya sebagai masyarakat Rungus dan beragama Kristian juga tidak pernah menjadi penghalang untuk Lorenica mendalami Jawi, malah tugas sebagai guru bahasa Melayu mendorong beliau memahami kedudukan tulisan itu sebagai sebahagian daripada bahasa kebangsaan.
“Seperti bahasa Melayu, juga saya tidak pernah melihat Jawi sebagai milik sesuatu kaum atau agama semata-mata. Sebaliknya, saya melihatnya sebagai khazanah negara yang wajar dipelajari dan dipelihara oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Lorenica mula mengenali Jawi pada 2009 ketika mengikuti Kursus Pengenalan Asas Tulisan Jawi selama satu semester di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu.
Pengetahuan itu terus diperkukuh sehingga 15 tahun kemudian, apabila beliau berpeluang mengajar Jawi pada 2024, sebelum mengembangkan pendekatan pembelajaran berkenaan menerusi penyelidikan pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di bawah tajaan Kementerian Pendidikan melalui Hadiah Latihan Persekutuan (HLPS).
Bagi memudahkan murid menguasai Jawi, beliau membangunkan aplikasi PAntaS baCA Jawi (Pasca-ج) yang menggunakan teknik transliterasi, latihan interaktif dan pembelajaran kendiri menerusi kajiannya pada peringkat PhD.
Lorenica berkata mempelajari bahasa atau tulisan masyarakat lain bukan sekadar menambah ilmu, malah mampu membina rasa hormat, empati dan saling menghargai, sekali gus mengurangkan prasangka yang sering berpunca daripada kurangnya kefahaman antara satu sama lain.
“Pendidikan ialah jambatan yang menghubungkan kepelbagaian itu dan saya percaya pembelajaran silang budaya, mampu mengukuhkan perpaduan negara terutamanya tulisan Jawi, yang memainkan peranan sebagai tulisan bahasa kebangsaan negara kita,” katanya.
Usaha Lorenica melestarikan Jawi turut mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk Tokoh Ibnu Uraiqith Maulidur Rasul 2024, Anugerah IMTIYAZ MURABBI: Guru Inspirasi Jawi Lintas Budaya 2025 dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah 2025.
Namun, pengiktirafan paling dekat di hati beliau ialah Ikon Wibawa Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka 2024, yang diterimanya selepas video berdurasi 12 saat mengenai usaha beliau memperkenalkan Jawi tular di media sosial.
“Anugerah ini saya terima pada awal penglibatan saya dalam usaha melestarikan tulisan Jawi, saya tidak memiliki apa-apa sumbangan pada waktu itu hanya berbekalkan video 12 saat yang tular, anugerah tersebut saya telah jadikannya amanah dan tanggungjawab yang memangkin pencapaian diri saya hari ini,” katanya.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Lorenica berkata keharmonian dalam masyarakat majmuk tidak bermaksud semua rakyat perlu mempunyai identiti yang sama, sebaliknya mampu hidup bersama dengan memahami dan menghormati perbezaan.
“Sabah sendiri menjadi contoh bagaimana masyarakat pelbagai kaum dan agama hidup bersama-sama dalam suasana saling menghargai. Sebagai pendidik, saya percaya perpaduan bermula di bilik darjah apabila murid belajar menerima, memahami dan menghormati budaya antara satu sama lain.
“Itulah semangat sebenar Malaysia Harmoni dalam Kepelbagaian,” katanya.
-- BERNAMA