Skip to main content

Malaysia

Guru besar ditahan bantu siasatan pukul murid tahun satu sehingga cedera

PDRM
Polis menahan seorang guru besar bagi membantu siasatan berkaitan kes memukul seorang murid lelaki tahun satu sehingga menyebabkan kecederaan, Selasa lepas.

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang guru besar bagi membantu siasatan berkaitan kes memukul seorang murid lelaki tahun satu sehingga menyebabkan kecederaan, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 40 tahun yang merupakan bapa kepada kanak-kanak itu, kira-kira pukul 9.46 pagi.

Advertisement

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai dipukul lelaki berumur 48 tahun itu semasa berada di kantin sekolah kira-kira 7.39 pagi, hari yang sama.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah menahan lelaki tersebut di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada 4.55 petang bagi membantu siasatan.

"Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan juga didapati negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Radin Ramlan berkata suspek telah dibawa ke mahkamah di sini pada Rabu dan direman tiga hari hingga semalam, sebelum dibenarkan bebas dengan jaminan polis.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, tular satu hantaran di laman Facebook yang dimuat naik pemilik akaun Isu Semasa Online memaparkan perkongsian mengenai kejadian berserta foto seorang kanak-kanak lelaki yang cedera.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video