KUALA LUMPUR: Demi kasih sayang terhadap murid berkeperluan khas masalah penglihatan, seorang guru mengambil inisiatif mencipta alat bantu mengajar yang membolehkan anak didiknya berlari dengan sempurna ketika menyertai sukan olahraga, terutamanya dalam acara larian.
Biarpun golongan tersebut tidak dapat melihat, Wan Muadzam Wan Abidin, 40, percaya kekangan itu dapat diatasi dengan alat bantu ciptaannya yang dinamakan 'Caballus Rafvi (Running aids for Visual Impairment)', yang berfungsi sebagai alat sokongan bagi membantu mereka daripada segi navigasi, mobiliti dan stabiliti, ketika sedang berlari.
Baginya, tiada apa yang lebih menggembirakannya selain melihat wajah anak muridnya ceria kerana dapat berlari dengan yakin dan bebas, tanpa perlu lagi berpaut pada bahu orang lain atau memegang tali yang berperanan sebagai penunjuk arah.
"Idea ini tercetus hasil daripada pengalaman saya sendiri. Setiap kali latihan, saya juga perlu berlari bersama mereka. Jika ada tiga orang, maka saya perlu lakukan tiga pusingan larian. Kalau dulu waktu muda, bolehlah namun bila sudah berumur ini, saya rasa cukuplah," katanya kepada Bernama.
Wan Muadzam yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Azam berkata alat bantu itu dicipta dengan mengambil konsep kuda melalui gabungan rekaan troli dan kereta sorong bayi, serta begitu mudah digunakan bagi setiap kategori.
"Ia bersaiz besar dan boleh memuatkan dua murid dalam satu-satu masa. Ia bukan sahaja untuk golongan OKU penglihatan, tetapi juga berfungsi buat murid yang mempunyai masalah fizikal seperti kaki tidak sama rata atau kudung, kerana alat ini membantu mereka berlari dengan bantuan pengiring yang mengawalnya di belakang sekali gus menyokong tahap kestabilan serta selamat daripada dilanggar sesiapa," katanya.
Mengulas lanjut, Cikgu Azam yang juga guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Klang mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk membangunkan Caballus Rafvi versi 1.0, yang menelan belanja RM300 pada akhir tahun 2019.
"Saya membinanya sendiri dengan menggunakan bahan terbuang daripada paip polivinil klorida (PVC) dan siap dalam tempoh empat hari, namun ia tidak sesuai digunakan bagi larian jarak jauh," katanya yang berasal dari Miri, Sarawak.
Kemudian, Cikgu Azam dengan kerjasama beberapa guru lain mengambil keputusan untuk membangunkan Caballus Rafvi versi 2.0, yang menggunakan bahan campuran paip PVC dan besi serta dilengkapi tayar angin yang lebih stabil, dan siap dalam tempoh sebulan pada awal tahun lepas.
"Bagi versi 2.0 pula, ia memerlukan modal hingga RM700 kerana kelebaran PVC dan besi yang digunakan agak besar dan luas serta tebal, supaya strukturnya lebih kukuh dan stabil," katanya yang bergelar pendidik sejak tahun 2009.
Caballus Rafvi versi 2.0 juga merealisasikan impian anak muridnya Nur Yusrina Alisya Yusri, 12, untuk berlari sendiri ketika menyertai pertandingan 'Education Fun Run' sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pada Februari tahun lepas.
Malah, Cikgu Azam turut berkongsi video larian itu di TikTok sehingga tular di media sosial, sekali gus menarik perhatian masyarakat yang kagum dengan usaha guru berkenaan merealisasikan impian anak muridnya itu.
"Saya guru biasa sahaja tetapi anak murid saya yang istimewa. Walaupun tidak boleh melihat, mereka tetap mempunyai impian dan keinginan. Jadi, saya cuba memenuhinya dan berharap alat bantu ini dapat membantu murid berkenaan meningkatkan tahap kecergasan, selain terus membuka peluang mereka terus aktif dalam bidang sukan," katanya yang juga sedang membangunkan inovasi 'Orientasi Pinggan Makan' juga buat golongan berkenaan.
Cikgu Azam berkata Caballus Rafvi yang pernah memenangi pingat emas ketika menyertai pertandingan inovasi di e-Seminar Penyelidikan dan Inovasi Dalam Pendidikan 2020 (e-SPeDIP2020) anjuran Institut Pendidikan Guru (IPG) Sarawak, tidak berniat mengkomersialkan inovasi berkenaan sebaliknya bercadang untuk memberikan hak ciptanya kepada sekolah di tempatnya mengajar.
"Saya memang tiada niat untuk mengaut keuntungan, kerana pada saya setiap alat bantu yang dihasilkan guru PPKI dicipta khusus mengikut masalah murid. Ini adalah hadiah saya untuk mereka. Kini, saya dalam proses membangunkan Caballus Rafvi versi 3.0, bagi memperbaiki ciri dan kualitinya supaya lebih lancar, kukuh dan bersifat mudah alih namun terpaksa ditangguh berikutan peningkatan kes COVID-19 selain kekurangan peruntukan dan kepakaran," katanya.
Sementara itu, Nur Yusrina Alisya yang juga OKU penglihatan dan meminati sukan olahraga sejak kecil terharu dengan kesungguhan Cikgu Azam, dalam menunaikan impian murid berkeperluan khas khas untuk berlari dengan sempurna.
"Sebelum menggunakannya, saya perlu berlari dengan berpaut pada bahu Cikgu Azam atau memegang tali untuk berlari, dan ia sangat menyukarkan namun selepas menggunakan alat bantu ini saya menjadi yakin untuk berlari tanpa perlu risau akan cedera. Saya berharap alat bantu ini dapat membantu kami untuk terus menceburi bidang sukan sehingga berjaya ke peringkat antarabangsa," katanya yang menjadikan atlet olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi sebagai idolanya.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Sep 12 2021
Cikgu Azam berkata alat bantu itu dicipta dengan mengambil konsep kuda melalui gabungan rekaan troli dan kereta sorong bayi. - Foto BERNAMA
[INFOGRAFIK] Calon Perpaduan | N.06 Kuala Kubu Baharu
Apa yang perlu anda tahu tentang calon Perpaduan bagi PRK N.06 Kuala Kubu Baharu.
[INFOGRAFIK] Calon Perikatan Nasional | N.06 Kuala Kubu Baharu
Apa yang perlu anda tahu tentang calon Perikatan Nasional bagi PRK N.06 Kuala Kubu Baharu.
Pertandingan empat penjuru N.06 Kuala Kubu Baharu
Untuk perkembangan lanjut berkaitan Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu kita bersama rakan setugas, Firdaus Azil.
PRK Kuala Kubu Baharu saksikan pertandingan empat penjuru
Perkara itu disahkan oleh Pegawai Pengurus bagi PRK tersebut, Yuhanas Auree Kamaruddin di Pusat Penamaan Calon PRK Kuala Kubu Bharu, Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor kira-kira jam 10.38 pagi, pada Sabtu.
KKR, CIDB zahir hasrat hantar pekerja ke Nagasaki teroka kemahiran TVET
KKR menerusi agensinya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berhasrat memulakan penghantaran pekerja ke Nagasaki, Jepun menjelang suku keempat tahun ini.
Piala Thomas: Leong Jun Hao lakar kebangkitan, pastikan kemenangan Malaysia!
Leong Jun Hao melakar kebangkitan memastikan Malaysia memperoleh kemenangan ke atas wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long.
1MDB: Prosiding Najib julung kali dibuat pada Sabtu
Perbicaraan pertama dibuat pada hujung minggu ini berlangsung tepat jam 8.30 pagi, selepas bekas Perdana Menteri itu dibawa pihak berkuasa dengan menaiki kenderaan dari Jabatan Penjara.
PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan akan dibebani isu semasa - Muhyiddin
PRK ini bakal jadi referendum untuk rakyat suarakan pandangan yang disifatkan Muhyiddin sebagai perasaan tidak puas hati.
Pelajar PhD USIM ambil ujian di sebalik runtuhan di Gaza
Pelajar PhD USIM warga Palestin nekad menjalani Ujian Kelayakan yang dijalankan secara dalam talian pada Jumaat walaupun berdepan risiko dibom tentera Zionis pada bila-bila masa.
UMNO dan BN dokong calon PH demi Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid
Presiden UMNOsedar taktik pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan parti pimpinannya dengan parti komponen Pakatan Harapan itu.
Guru cipta alat bantu murid masalah penglihatan berlari dengan sempurna
Tiada apa yang lebih menggembirakannya selain melihat wajah anak muridnya ceria kerana dapat berlari dengan yakin dan bebas.
Kehidupan tukang urut OKU kian 'kelam'
Kekurangan pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan tukang urut buta sejak pandemik COVID-19 melanda negara menyebabkan kehidupan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Pulau Pinang bertambah sukar.
Seorang individu di Johor berisiko buta setiap minggu
Ketua Jabatan Oftalmologi HSAJB Dr Francesa Martina Vendargon berkata rata-rata risiko buta sering menyerang individu berusia 40 tahun dan ke atas.