Skip to main content

Malaysia

Guru tampar pelajar diarah bayar ganti rugi lebih RM80,000

Mohd Syukran (kiri) menunjukkan penyata tuntutan saman kepada Noor Azleen. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Syukran (kiri) menunjukkan penyata tuntutan saman kepada Noor Azleen. - Foto/ Sinar Harian
Advertisement

KOTA BHARU: Seorang pesara guru subjek Sejarah di sebuah sekolah menengah di Kelantan diarahkan membayar ganti rugi keseluruhan RM88,069 kepada pelajarnya yang ditampar sebanyak empat kali ketika sesi pembelajaran dalam kelas, tujuh tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd Rosli Yusoff pada Isnin selepas mahkamah membenarkan tuntutan saman sivil yang difailkan mangsa melalui ibunya terhadap guru berkenaan serta tiga defendan lain.

Mangsa, Mohamad Adam Maidin, 21, dan ibunya, Noor Azleen Mohamad, 47, sebagai plaintif memfailkan saman ke atas guru terbabit, Isamuddin Ismail, 63, yang juga Penolong Kanan Pentadbiran dengan menamakannya defendan pertama.

Dalam keputusan itu, Mohd Rosli berkata, guru terbabit didapati melakukan serangan sentuh terhadap mangsa dengan menampar muka dan kedua-dua pipinya menggunakan tangan kanan serta kiri dari arah belakang.

“Mangsa kena ‘tampar kapit’ dan mahkamah mengambil kira keterangan doktor serta beberapa ujian pendengaran yang dijalankan terhadap mangsa, membuktikan kecederaan dialaminya.

“Mahkamah juga mendapati guru berkenaan sebagai seorang pendidik mempunyai tanggungjawab untuk berhati-hati ke atas pelajar,” katanya.

Mohamad Adam ketika kejadian pada 28 Januari 2019 merupakan pelajar Tingkatan Dua dan berusia 14 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa didakwa sedang berada di mejanya bersama rakan sekelas sebelum guru terbabit datang dari arah belakang dan menamparnya dengan kuat sebanyak empat kali.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan pada muka dan kedua-dua telinga selain mengadu pening, kurang pendengaran serta bunyi berdesing dalam telinga.

Ibunya kemudian membawa mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Berek 12 sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk pemeriksaan pakar telinga.

Laporan perubatan yang dikeluarkan pada Jun 2019 mendapati mangsa mengalami masalah pendengaran di telinga kanan termasuk kehilangan pendengaran bercampur pada tahap ringan hingga sederhana yang didiagnosis sebagai kecederaan akibat trauma dipercayai ditampar.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami trauma sehingga terpaksa berpindah sekolah kira-kira sebulan kemudian kerana takut untuk kembali ke sekolah dan berhadapan dengan guru terbabit.

Mengimbau kejadian itu, Noor Azleen berkata, perubahan terhadap anaknya mula disedari ketika mengambil mangsa pulang dari sekolah pada hari kejadian apabila wajahnya kelihatan merah, murung dan tidak bermaya selain mengadu sakit kepala.

Menurut pemandu di sebuah syarikat swasta itu, seorang rakan sekelas mangsa kemudian memaklumkan bahawa anaknya ditampar guru berkenaan dan meminta supaya membawa mangsa mendapatkan rawatan.

Mangsa juga dikatakan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun untuk kembali pulih daripada trauma berkenaan.

“Dia takut nak pergi sekolah sehingga saya terpaksa tukarkan dia ke sekolah lain.

“Selepas kira-kira dua hingga tiga tahun barulah saya nampak dia semakin pulih,” katanya ketika ditemui selepas keputusan kes itu.

Katanya, kejadian tersebut turut memberi kesan kepada dirinya sebagai ibu kerana bimbang perkara sama berulang terhadap anak-anak lain.

“Kalau anak-anak beritahu ada perkara berlaku di sekolah, ibu bapa tolong siasat.

“Pada guru pula, jangan gunakan kekerasan atau pukul kawasan seperti mata atau telinga kerana kesannya boleh berpanjangan selain sudah tiada ganti,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili plaintif, Mohd Syukran Mohd Noordin berkata, mahkamah membenarkan tuntutan anak guamnya terhadap kesemua defendan selepas mendapati terdapat kecuaian serta tanggungjawab yang perlu dipikul berhubung kejadian tersebut.

“Jumlah RM88,069 yang diperintahkan mahkamah itu merangkumi RM45,000 ganti rugi am, RM569 ganti rugi khas, RM11,250 ganti rugi teladan dan RM11,250 ganti rugi teruk selain faedah serta kos sebanyak RM20,000,” katanya.

Saman sivil itu difailkan melalui Tetuan Syukran Noordin pada Mac 2021, kira-kira dua tahun selepas kejadian.

Dalam tuntutan berkenaan, mangsa turut menamakan pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Defendan-defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syakimah Ibrahim. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement