KUALA LUMPUR: Nga Kor Ming yakin lebih 4,000 perwakilan dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2026 pada 16 Ogos akan membuat pilihan untuk mengutamakan kepentingan dan kestabilan negara.
Menurut Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu, sebagai sebuah parti yang telah berjuang selama 60 tahun, para perwakilan diyakini akan sebulat suara memilih keputusan yang memihak kepada agenda pembangunan negara.
“Saya yakin sebagai sebuah parti yang cintakan negara, sebuah parti yang berjuang sekian lama selama 60 tahun, saya percaya dengan kebijaksanaan 4,000 lebih perwakilan.
"Mereka akan mengundi mengikut kepentingan negara, menjaga kestabilan negara, dan membuat pilihan yang paling bijaksana selaras dengan kestabilan negara, itu keyakinan saya,” katanya.
Kor Ming berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media sempena pelancaran Dasar Perumahan Negara 2026-2035, di sini, pada Isnin.
Pada 3 Ogos lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata penentuan untuk kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan akan diputuskan pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026.
Dalam pada itu, Kor Ming mengingatkan rakyat supaya tidak memberi ruang kepada golongan ekstremis yang cuba merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Tegasnya, kepelbagaian budaya dan kaum merupakan kekuatan Malaysia yang perlu diraikan sebagai satu keistimewaan serta kelebihan negara.
"Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, dan Orang Asli... kita adalah satu keluarga, kita adalah sanak saudara.
"Kita jangan berikan ruang kepada pihak ekstremis yang cuba merosakkan keharmonian berbilang kaum.
"Hargai perpaduan yang sekian lama dibina, silaturahim kita jalin sejak sekian lama sebagai sebuah keluarga anak Malaysia yang saling hormat menghormati, saling sayang menyayangi," katanya.
Tambah Kor Ming, semangat cintakan negara perlu dipupuk sepanjang masa dan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada bulan kemerdekaan.