TELUK INTAN: Seorang guru sekolah menengah di Tapah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat atas 32 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar lelaki, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Faizal Amir, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa atas 10 pertuduhan dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap tujuh pelajar lelaki berusia 14 hingga 16 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah warden sekolah berkenaan antara 28 Julai hingga 29 September 2020.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

Tertuduh turut didakwa dengan 22 pertuduhan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Kesalahan yang dilakukan di lokasi, tarikh dan masa yang sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 untuk semua pertuduhan di samping melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan dilarang mendekati mangsa.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Farid Wajdi Hanif.