Skip to main content

Malaysia

Guru didakwa lakukan amang seksual terhadap enam pelajar perempuan

KLANG, 8 Jun -- Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, tahun lepas.  Pengakuan Idi Johan Mohd Zohdi, 45, yang merupakan guru subjek muzik dibuat selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam. - Foto Bernama

KLANG: Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, tahun lepas.

Pengakuan Idi Johan Mohd Zohdi, 45, yang merupakan guru subjek muzik dibuat selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar itu bagi maksud seksual di beberapa lokasi termasuk bilik darjah, bilik muzik, bilik matematik, stor peralatan muzik, sebuah rumah dan sebuah kenderaan di sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam antara Januari 2025 hingga Februari tahun ini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan disebat manakala di bawah Seksyen 16(1), Idi Johan berhadapan hukuman penjara tambahan sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar tidak menawarkan jaminan namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan. 

Peguam Datuk Mohd Imran Tamrin merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai isteri dan seorang anak yang masih bersekolah serta tiada rekod jenayah lampau selain lelaki itu tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sejak berkhidmat sebagai guru pada 2002. 

Mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan selain tertuduh diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement