Skip to main content

Malaysia

Guru mengaku tidak bersalah tujuh tuduhan amang seksual, simpan bahan lucah

JOHOR BAHRU, 9 Jun -- Guru Mohamad Amirul Firdaus Awang Meran, 28, (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan dan menyimpan bahan lucah dalam telefon bimbitnya._BERNAMA
Guru Mohamad Amirul Firdaus Awang Meran, 28, (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Seorang guru lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan dan menyimpan bahan lucah dalam telefon bimbitnya.

Mohamad Amirul Firdaus Awang Meran, 28, mengaku tidak bersalah atas semua lima pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar dan Hakim Madihah Zainol dalam prosiding berasingan serta dua pertuduhan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Bagi lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 11 tahun di dalam sebuah kereta di tapak parkir sebuah taman permainan di Masai, di sini, antara Februari 2024 hingga Ogos 2025. 

Kesemua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat. 

Dia juga berdepan hukuman tambahan di bawah Seksyen 16(1) iaitu penjara maksimum lima tahun dan minimum dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, lelaki terbabit turut didakwa atas dua pertuduhan menyimpan bahan lucah di dalam dua telefon bimbit miliknya di tepi Jalan Seri Wangi 1/1, Taman Perindustrian Plentong, Masai, pada 10.30 malam, 21 Mei lepas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin, S.S Manushri dan Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal yang menawarkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan.

Peguam Nur Zafirah Norizan dan Ungku Ahmad Hafis Ungku Fathil yang mewakili Mohamad Amirul Firdaus memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guam mereka hanya berpendapatan bersih RM3,000 sebulan dan telah berkhidmat sebagai pendidik selama lima tahun.

Hakim Nor Aziati dan Hakim Madihah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM13,000 bagi kesemua lima pertuduhan amang seksual, manakala Majistret Atifah Hazimah membenarkan jaminan RM6,000 bagi dua pertuduhan menyimpan bahan lucah.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa, selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, serta melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement