DUNGUN: Seorang guru lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut untuk bertugas sebagai pengawas Ujian Berturut Bahasa Melayu (UBBM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah Sharifuddin Ali berkata kejadian berlaku kira-kira 8 pagi di Kilometer 73, Jalan Jerangau-Jabor, berdekatan Pusat Koreksional Dungun, Bukit Besi dekat sini.

Beliau berkata ketika kejadian, mangsa Abd Rashid Mohd Nor, 48, memandu dalam perjalanan dari SMK Jerangau ke SMK Padang Pulut sebelum terbabas dan tercampak ke dalam semak di kiri bahu jalan.

"Mangsa dihempap kenderaannya sendiri. Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sharifuddin berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA