Skip to main content

Malaysia

Guru tari direman lima hari bantu siasatan amang seksual pelajar

SINAR HARIAN
Suspek direman lima hari bagi membantu siasatan amang seksual terhadap pelajar lelaki. - Foto Sinar Harian
Advertisement

MELAKA: Seorang guru tari persendirian direman selama lima hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki.

Perintah reman terhadap suspek berusia 20 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Asyikin Rosli pada Isnin.

Terdahulu, suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 5 pagi pada Isnin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Menurut beliau, mangsa yang berusia 14 tahun 10 bulan merupakan pelajar suspek dalam bidang tarian tradisional dan dipercayai menjadi mangsa sejak mula mengikuti kelas dengan lelaki berkenaan pada 4 September lalu.

“Kes berkenaan dipercayai berlaku di dua lokasi, iaitu di kediaman suspek di Krubong dan kawasan Tasik 1 Krubong.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan berunsur seksual terhadap mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Dzulkhairi berkata, pihak polis turut menerima satu lagi laporan daripada seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang mendakwa menjadi mangsa suspek dalam kejadian berasingan pada Disember tahun lalu dan Jun lalu.

Menurutnya, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah hotel di Melaka serta kediaman suspek di Krubong dan siasatan lanjut masih diteruskan. -- Sinar Harian
 

Must Watch Video

Advertisement