Skip to main content

Malaysia

Had umur 16 tahun media sosial: Libat urus diteruskan sebelum pelaksanaan - Fahmi

KUALA LUMPUR, 18 April -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Datum sempena Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) 2026 anjuran Pertumbuhan Arkitek Malaysia (PAM) di The Linc Kuala Lumpur hari ini._BERNAMA
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu bertujuan memberikan taklimat, mendengar pandangan serta menangani kebimbangan pelbagai pihak, selain memastikan matlamat utama kerajaan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak dan keluarga di alam maya tercapai. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan, menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), masih menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sebelum penguatkuasaan had umur 16 tahun bagi akaun media sosial dilaksanakan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu bertujuan memberikan taklimat, mendengar pandangan serta menangani kebimbangan pelbagai pihak, selain memastikan matlamat utama kerajaan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak dan keluarga di alam maya tercapai.

Advertisement

“Pihak MCMC memang mengadakan sesi libat urus yang berterusan dan saya percaya ramai lagi yang wajar dijemput untuk diberi taklimat serta didengar pandangan mereka.

“Hasrat kerajaan bukan untuk menyekat hak bersuara, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, tetapi punca utama ikhtiar ini adalah untuk menjamin keselamatan mereka dan keluarga di Internet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Datum bersempena dengan Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2026 di The Linc KL, di sini hari ini.

Beliau turut memperbetul salah faham berhubung pelaksanaan itu dengan menjelaskan bahawa kanak-kanak masih boleh mengakses Internet atau platform media sosial, namun perlu di bawah pemantauan penjaga.

“Kita mahu sekat kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada membuka akaun sendiri, namun sekiranya ibu bapa yang membuka akaun tersebut dan memantau penggunaannya, perkara itu tidak menjadi masalah.

“Contohnya, aplikasi YouTube, mereka masih boleh menonton kandungan di sana. Kita cuma tidak mahu mereka mempunyai akaun peribadi yang membolehkan pemangsa seksual atau pedofilia menghubungi mereka secara terus,” katanya.

Beliau berkata langkah itu turut disokong oleh pandangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang berpendapat sama tentang risiko serius yang dihadapi kanak-kanak apabila memiliki akaun tanpa pengawasan.

Fahmi turut menarik perhatian beberapa kes jenayah siber serius, termasuk kes seksual di Sabah membabitkan mangsa berusia 15 tahun yang mengenali pemangsa menerusi TikTok, serta isu buli siber yang meragut nyawa seperti kes mendiang Rajeswary Appahu atau Esha.

Berhubung kemungkinan terdapat tentangan, beliau menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan bagi memahami sudut pandang alternatif serta cadangan yang dikemukakan.

“Saya sedia bertemu dengan mana-mana pihak dan telah mengarahkan pasukan di MCMC untuk mempertimbangkan aspek yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan nanti, namun keutamaan kami tetap kepada penyediaan ruang Internet yang selamat,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video