Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dibenar keluar dari wad pagi semalam selepas keadaan kesihatannya semakin baik, kata setiausaha politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dr Samsuri memaklumkan perkara berkenaan melalui laman Facebook milik Abdul Hadi pada petang Jumaat.

"Alhamdulillah Tuan Guru telah dibenarkan keluar dari wad hospital pada pagi ini. Beliau juga dinasihatkan oleh doktor pakar di hospital supaya berehat beberapa hari sehingga pulih sepenuhnya untuk pulang ke Malaysia dalam masa yang terdekat ini," tulis Dr Samsuri.

Abdul Hadi dimasukkan ke wad ICU hospital Medipol Universite Hastanesi, Istanbul minggu lepas setelah mengadu sesak nafas. Beliau kemudian dipindahkan ke wad biasa pada Selasa selepas keadaannya beransur pulih.

Ahli Parlimen Marang itu dinasihatkan supaya menjaga pengambilan makanan dan minuman serta berehat sepenuhnya dalam tempoh yang akan dinilai dari semasa ke semasa.

Abdul Hadi bersama Dr Shamsuri dan seorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi berada di Istanbul kerana menghadiri Kongres Umat Islam Antarabangsa anjuran Pusat Penyelidikan Ekonomi (ESAM) yang berpengkalan di Istanbul.