Haji 2026: Arab Saudi ketatkan syarat, pesakit kronik dan berjangkit tiada peluang ke Tanah Suci

Antara syarat utama yang ditetapkan Arab Saudi ialah jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit atau penyakit kronik yang tidak terkawal serta berupaya melaksanakan ibadah haji secara kendiri tanpa bergantung kepada orang lain. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi menetapkan beberapa syarat kesihatan baharu bagi musim Haji 1447H/2026M, termasuk larangan kepada individu yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal dan penyakit berjangkit daripada menunaikan ibadah haji tahun hadapan.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan, syarat itu perlu dipatuhi oleh semua bakal jemaah haji sebelum layak memperoleh visa haji daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
"Antara syarat utama yang ditetapkan ialah jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit atau penyakit kronik yang tidak terkawal serta berupaya melaksanakan ibadah haji secara kendiri tanpa bergantung kepada orang lain," kata kenyataan itu.
Bakal jemaah tidak layak menunaikan haji sekiranya disahkan menghidap penyakit atau keadaan kesihatan seperti berikut:* Kegagalan buah pinggang kronik
* Kegagalan jantung atau penyakit jantung serius
* Penyakit paru-paru kronik
* Penyakit hati kronik
* Masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif dan motor
* Warga emas dengan dementia atau fizikal terlalu lemah
* Kehamilan berisiko tinggi
* Penyakit berjangkit aktif
* Penyakit kanser yang sedang dalam rawatan
Dalam kenyataan sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad menegaskan, keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah Malaysia sentiasa menjadi keutamaan utama TH dalam setiap operasi haji.
“TH sentiasa memandang serius aspek kesihatan jemaah, terutama ketika berada di Tanah Suci. Seperti tahun-tahun sebelumnya, sebahagian besar tenaga petugas akan terdiri daripada pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata beliau.
Klinik kesihatan di semua penginapan jemaah
Bagi musim Haji 1447H/2026M juga, TH akan meneruskan penyediaan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah, lengkap dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendalikan oleh petugas KKM.
Namun begitu, Mustakim menjelaskan, TH tidak lagi dibenarkan membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci, sebaliknya, jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital-hospital yang dikendalikan Kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan pakar perubatan dari KKM.
TH turut merancang untuk menyalurkan jemaah ke hospital swasta di Arab Saudi sekiranya diperlukan.
Sebanyak 225 petugas kesihatan akan ditempatkan bagi musim haji tahun depan.
Istito‘ah kesihatan jadi syarat utama
Menurut Mustakim, tahap kesihatan yang baik merupakan syarat kemampuan (istito‘ah) yang telah digariskan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan dan menjadi asas kelayakan bagi setiap bakal jemaah.
“Seperti sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh KKM sebelum menerima tawaran haji. TH akan terus memastikan jemaah Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua bakal jemaah supaya membuat persediaan fizikal secukupnya, memandangkan ibadah haji memerlukan ketahanan tubuh yang tinggi dalam cuaca panas dan berdebu di Arab Saudi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami