KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mahu pembinaan dua kompleks untuk batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dipercepatkan untuk memperkukuh lagi keselamatan di negeri ini.

Beliau berkata dua kompleks baharu itu ialah Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak dan buat masa ini Sabah mempunyai lima batalion di Kinarut, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Beluran.

"Sabah ialah negeri yang besar dan dikelilingi tiga laut - Laut China Selatan di barat, Laut Sulu di timur laut dan Laut Sulawesi di timur, manakala di sebelah selatan Sabah berkongsi sempadan dengan Indonesia.

"Tambahan dua kompleks PGA itu perlu bukan sahaja untuk menghentikan gerakan subversif tetapi mengekang aktiviti seperti penyeludupan bahan api, balak dan dadah," katanya pada majlis pelancaran buku Op Daulat Tanduo bertajuk 'General Operations Force, Sabah Brigade: Eliminating Terrorists and The Fifth Column in Kampung Tanduo, Lahad Datu' di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji turut memuji PGA Sabah dan Jabatan Arkib Sabah atas kerjasama yang dijalinkan untuk penerbitan buku itu sekali gus menjadikan pencerobohan Tanduo 2013 sebahagian daripada dokumen sejarah.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan projek dan semua individu yang terlibat dalam penyusunan buku itu. Operasi keselamatan seperti pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo menjadi lambang keberanian dan komitmen pasukan keselamatan kita," katanya.

Insiden pada Feb 2013 itu berpunca akibat tindakan kumpulan pengganas yang mendakwa Sabah untuk waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud dan tidak pernah diiktiraf kerajaan Malaysia.

Hajiji turut mengulangi pendirian kerajaan Sabah untuk tidak mengiktiraf sebarang tuntutan mereka yang mendakwa sebagai waris kesultanan itu.

"Pendirian ini jelas dan selari dengan suara rakyat Sabah yang telah memilih untuk membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia pada 1963. Justeru, sebarang tuntutan pihak luar tidak dilayan kerajaan negeri dan rakyat," katanya.

Hajiji berkata pengorbanan pasukan keselamatan terutama ketika insiden Tanduo yang amat besar demi memperjuangkan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.

"Seluruh rakyat Malaysia amat menghargai peranan PGA dalam insiden itu kerana tanpa keberanian dan pengorbanan mereka sudah tentu kedaulatan negara terancam. Oleh itu, saya berharap buku ini memberi manfaat kepada orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pencerobohan di Tanduo dan pengorbanan pasukan keselamatan kita.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti menjadikan kejadian itu sebagi iktibar dan menguatkan lagi semangat patriotik dalam memastikan kedaulatan negara dilindungi dan terus terpelihara," katanya.

Sepanjang 11 tahun sejak pencerobohan Tanduo, kerajaan mengambil langkah mewujudkan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang banyak membantu Lahad Datu kembali seperti biasa.

ESSCOM bersama Angkatan Tentera Malaysia, Polis Marin dan PGA telah meningkatkan lagi pengawasan di perairan Sabah.

-- BERNAMA