KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Allahyarham Taib sebagai seorang tokoh yang banyak berjasa untuk rakyat Sarawak dan pembangunan negeri itu.

Menurut Ketua Menteri Sabah itu, jasa bekas Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak itu pada negeri berkenaan amat besar dan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke
atas roh Allahyarham.


“Jasa beliau kepada Sarawak amat besar dan ini adalah satu kehilangan besar kepada rakyat dan negeri Sarawak,” kata Hajiji yang turut mendoakan semoga roh Allahyarham Abdul Taib dicucuri rahmat.

Allahyarham Abdul Taib disifatkan figura penting yang membawa perubahan besar kepada Sarawak sejak beliau mengambil alih tampuk kepemimpinan kerajaan Sarawak pada 1981.

Allahyarham Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun.

Jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak sebentar lagi dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor esok.