IPOH: Seorang bekas pengawal keselamatan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menghantar mesej lucah kepada seorang wanita, dua tahun lepas.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Syed Danian Syed Mustapha Basri, 42, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara lima bulan bagi setiap kesalahan sekiranya gagal membayar denda.
Advertisement
Mengikut dua pertuduhan pertama, Syed Danian didakwa menggunakan perkhidmatan Messages telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu teks yang lucah sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain di Bemban, Jalan Bemban dekat Batu Gajah, pada 7.45 dan 7.50 pagi, 13 Dis 2024.
Pertuduhan ketiga pula, Syed Danian didakwa melakukan kesalahan sama di kawasan Taman Bemban Permai dekat Batu Gajah, pada 3.34 pagi, 14 Dis 2024.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Syed Danian yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda minimum dengan alasan dia perlu menanggung tiga anak termasuk seorang yang berstatus orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa MCMC Nadzirah Idris bagaimanapun mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kandungan mesej yang dihantar sangat keterlaluan sehingga menjejaskan maruah dan emosi mangsa.
Mahkamah menetapkan denda RM10,000 dan penjara lima bulan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan, selain memerintahkan barang ekshibit iaitu satu telefon bimbit milik tertuduh dilucut hak kepada MCMC untuk tujuan pelupusan.
-- BERNAMA
TAG: mahkamah, MCMC, mesej, lucah, bekas pengawal keselamatan