Hantaran berbaur kebencian di media sosial perlu dihentikan - Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin juga bertitah kenyataan berbaur kebencian serta kandungan yang berniat jahat berkaitan kaum dan agama bukan hanya menjejaskan keharmonian sosial tetapi juga boleh diambil tindakan di bawah undang-undang sedia ada. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan mendalam baginda terhadap peningkatan hantaran serta komen berunsur kebencian di media sosial, selain berasa terganggu dengan pelbagai isu berkaitan kaum, agama dan penyebaran berita palsu.
Ringkasan AI
- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengesyorkan warganet untuk berfikir sebelum memuat naik hantaran atau komen di media sosial, memandangkan implikasi serta potensi kemudaratan hantaran yang menyentuh isu kaum dan agama.
- Baginda menekankan kepentingan untuk menghentikan naratif dan komen berunsur kaum, yang boleh menyebabkan polarisasi dan kehilangan kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia, serta menasihati agar fokus diberikan kepada persamaan antara kaum.
- Sultan Selangor menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan kandungan negatif menjelang pilihan raya umum akan datang, dan menyeru perlunya undang-undang yang lebih ketat untuk mengawal kandungan yang berpotensi memudaratkan serta berbaur kebencian terutamanya berkaitan dengan kaum dan agama.
Baginda turut mempersoalkan faedah naratif dan komen yang berasaskan kaum ini sekiranya ia hanya membawa kepada polarisasi dan rasa tidak percaya dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Apa faedahnya menggelarkan rakyat Malaysia yang lain sebagai Type C (Cina) atau Type M (Melayu) atau kafir atau bukan kafir, orang kita atau jenis dia? Tolong hentikan perbuatan sebegini,'' titah baginda dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Temu bual itu dikendalikan oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, yang juga Tokoh Wartawan Negara.
"Amanat beta kepada rakyat Selangor, tolong ambil berat tentang negara Malaysia dan negeri Selangor. Bekerjasamalah tanpa mengira kaum atau agama.
"Fokuslah pada persamaan antara kaum. Jangan terlalu memfokus kepada perbezaan. Ada perkara yang kita tidak mampu ubah sebagai manusia biasa. Jadi, adalah lebih baik kita menitikberatkan kepentingan bersama, nilai serta prinsip dalam hidup dan agama,'' titah Sultan Selangor.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan "keadaan mungkin menjadi lebih buruk menjelang pilihan raya umum akan datang", yang dijangka diadakan pada tahun hadapan atau tahun berikutnya.
"Dengan AI (kecerdasan buatan), beta hanya dapat merasakan bahawa akan wujud lebih banyak kandungan yang memudaratkan untuk mencetuskan sentimen politik yang negatif.
"AI adalah teknologi yang baik namun kita masih memerlukan undang-undang bagi mengelakkan ia disalah guna, contohnya deepfake yang sering digunakan oleh penipu.
"Kita juga perlu menghentikan bentuk kandungan lain yang memudaratkan dengan menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat,'' titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga bertitah kenyataan berbaur kebencian serta kandungan yang berniat jahat berkaitan kaum dan agama bukan hanya menjejaskan keharmonian sosial tetapi juga boleh diambil tindakan di bawah undang-undang sedia ada.
"Banyak komen dan hantaran yang bersifat provokatif, tidak menghormati pihak lain serta memudaratkan.
"Dalam konteks Malaysia, di mana sensitiviti terhadap etnik, kepercayaan dan identiti nasional adalah tinggi, kita perlu memahami bahawa tingkah laku dalam talian sedemikian tidak boleh diterima,'' titah baginda.
BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


