CYBERJAYA: Bilangan syarikat berdaftar di negara ini yang membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih berada tahap yang rendah.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya 435,000 daripada 1.5 juta syarikat yang berdaftar direkodkan membayar hasil cukai mereka kepada agensi berkenaan.

Selain itu, Anwar berkata asas cukai negara juga dikategorikan rendah iaitu sebanyak 11 peratus berbanding negara-negara jiran seperti Thailand (16.4 peratus) dan Singapura (12.6 peratus).

"Ini maknanya kurang daripada 29 peratus syarikat berdaftar yang membayar cukai. Saya sentuh hal-hal sedemikian untuk menjelaskan betapa mendesak dan perlu kecekalan, kecekapan serta kepantasan pengurusan dan pendirian rakan-rakan dan keluarga LHDN untuk menjalankan tugas mengingatkan bahawa jumlah yang bayar itu kecil.

"Hasilnya itu sangat diperlukan bukan sahaja untuk menjamin pertumbuhan negara, tetapi untuk memberi keselesaan kepada rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 LHDN di sini pada Jumaat.

Berucap lanjut, Anwar berkata bagaimanapun LHDN berjaya mencipta sejarah baharu pada 2023 dengan mengutip hasil cukai sebanyak RM183.34 bilion, iaitu peningkatan lebih RM7.8 bilion atau 4.49 peratus daripada kutipan tahun sebelumnya.

Menteri Kewangan itu berharap kutipan cukai dapat meningkat lebih baik daripada unjuran 2024, berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh LHDN.

"Saya  menggesa rakan-rakan untuk sama rasa bertanggungjawab kerana sudah jumlah syarikat kecil, yang bayar. Kalau lihat angka 31 Disember 2023, pembayar cukai individu di Malaysia ini 5.7 juta, masih belum mencapai tahap negara berkembang.

"Tetapi pada hari ini insya-Allah, tidak boleh nafikan kerana langkah-langkah yang diambil atau inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh LHDN, telah berjaya meningkatkan hasil kepada negara," ujar Anwar lagi.

Perdana Menteri menambah sehingga 15 Februari 2024, LHDN turut menerima 68,806 kes pengisytiharan sukarela berjumlah RM610 juta daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada.

Katanya, peningkatan hasil cukai membolehkan kerajaan menggerakkan inisiatif-inisiatif yang memanfaatkan rakyat termasuk melalui peningkatan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memanfaatkan hampir 10 juta rakyat pada tahun ini berbanding kira-kira lapan juta sebelumnya.