Presiden PKR Sarawak Baru Bian tidak menyatakan sebab ketidakhadirannya kepada pemimpin parti, kata Presiden baharu PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengakui tidak tahu sebab mengapa Baru Bian yang juga Menteri Kerja Raya tidak hadir dalam persidangan parti hari ini.

“Baru Bian saya tidak tahu, beliau tak bagi tahu alasan.

“Sebab itu saya ada tegur dalam ucapan tadi,” katanya dalam sidang media di Kongres Nasional ke 13.

Beliau yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai beberapa menteri yang tidak kelihatan dalam kongres tersebut.

Katanya, dua lagi menteri iaitu Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar ada alasan tidak dapat hadir pada kongres yang bermula sejak Khamis lalu.

“Saifuddin sebab beliau ikut rombongan Perdana Menteri di Papua New Guinea dan Xavier mengetuai rombongan persidangan antarabangsa," ujarnya.

Antara lain beliau turut menyentuh mengenai kedudukan Ketua Umum dalam PKR.

Katanya jawatan ketua umum sebenarnya tidak pernah ada dalam perlembagaan parti.

“Ketua Umum ini tidak ada dalam perlembagaan, cuma satu resolusi, dan sekarang ini kita sudah ada Majlis Penasihat Parti di mana pengerusinya adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.