IPOH: Laporan audit forensik Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru diharap dapat dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung mulai 18 Julai depan.

Perkara itu disuarakan oleh ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perak, Chong Zhemin yang mendakwa isu tersebut sudah berlarutan lebih dua tahun.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji menegaskan rakyat berhak mengetahui apa yang berlaku kepada MAPS sehingga terpaksa ditutup pada tahun 2020.

"Saya telah menyuarakan pandangan bahawa laporan forensik bagi PricewaterhouseCoopers (PwC) MAPS ini perlu dibentang pada sidang DUN kali ini.

"Ini pendapat saya, saya telah suarakan (bentang laporan audit MAPS) pada mesyuarat PAC Isnin minggu lalu (4 Julai), namun terdapat beberapa perbezaan pandangan terutama daripada ahli pihak kerajaan.

"Mereka kata oleh kerana yuran PwC belum dilunaskan sepenuhnya, maka ia tidak wajar dibentangkan (pada sidang DUN)," katanya dalam sidang media khas di sini pada Khamis.

Hadir sama, ahli PAC yang juga ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Beliau turut berharap perkara itu tidak digunakan sebagai alasan untuk melengahkan pembentangan laporan berkenaan.

"Saya khuatir kalau tidak buat segera, maka tidak sempat untuk bentang. Kerana kita tidak tahu mungkin sidang DUN kali ini yang terakhir.

"Laporan sudah siap dua tahun lalu, semasa pentadbiran Pakatan Harapan. Kita buat audit forensik di PAC, dan PwC telah kemukakan laporan. Tahun 2020 sudah siap tapi sampai sekarang tak boleh bentang," katanya lagi.

Sementara itu, antara isu lain yang dibangkitkan dalam mesyuarat PAC itu termasuk tanah lapangan terbang di Seri Iskandar dan perlombongan lantanid di Hulu Perak.

"Mesyuarat PAC telah bersetuju untuk menyiasat isu ini (penjualan tanah lapangan terbang), namun belum ada tarikh yang ditetapkan serta saksi yang akan dipanggil.

"Hal ini berkait rapat dengan kepentingan negeri dan rakyat, saya rasa ia tidak boleh dilengahkan lagi.

"Sama juga dengan perlombongan lantanid di Hulu Perak, mesyuarat telah bersetuju untuk menyiasat. Namun belum ada tarikh dan saksi yang ditentukan untuk dipanggil," katanya lagi.