Kenaikkan harga barangan basah terutamanya ikan dan ayam, dikesan berlaku di pasar beberapa negeri sejak awal tahun ini.

Tinjauan Astro Awani di pasar basah Smart Pandan, Johor Bahru mendapati harga yang dikenakan masih lagi bersesuaian dan tidak terlalu tinggi.

Peniaga ikan, Mohd Irfan Zamhur berkata harga berkenaan terpaksa ditawarkan kepada pembeli kerana tidak mempunyai pilihan lain.

Katanya harga yang dikenakan pembekal kepada peniaga juga meningkat berbeza dengan harga yang biasa diambil sebelum ini.

Turut dipersoalkan jika peniaga menjual pada harga yang sama, bagaimana perniagaan mereka boleh bertahan tanpa keuntungan?

Jelas Mohd Irfan, ikan keli diambil daripada penternak dengan kadar harga RM3.50 satu kilogram dan dijual semula kepada pembeli RM5 sekilogram, termasuk kos pengangkutan dan ais.

Seorang lagi peniaga ikan, Omar Karim berkata harga ikan naik disebabkan laut bergelora dan nelayan tidak ke laut.

Menurutnya, harga ikan naik antara RM1.50 ke RM2.50 sekilogram, terutamanya ikan kembong.

Peniaga ayam Azizul Syazwan Mohd Jamil pula berkata memang menjadi kebiasaan semasa musim perayaan untuk harga ayam naik.

“Contohnya ketika perayaan Tahun Baru Cina memang harga ayam akan tinggi sikit daripada harga biasa,” katanya.

Sementara itu, peniaga yang ditemui di sekitar bandaraya Alor Setar menghadapi masalah apabila mendapati kebanyakkan harga barang basah yang dibeli mereka daripada pemborong naik.

Malah, ada juga peniaga yang merungut apabila beberapa barangan basah meningkat menyebabkan mereka mendapat keuntungan yang agak tipis kerana tidak dapat menaikkan harga makanan yang dijual.

Masalah ini berlaku sejak bulan lalu apabila harga barangan basah meningkat sekali ganda, dipercayai berpunca daripada pemborong dan pembekal yang sengaja mengambil kesempatan dengan kenaikan harga yang ditetapkan kerajaan.

Antara barangan yang meningkat ialah sayur-sayuran hijau seperti sawi, lobak merah, tomato dan sayuran lain.

Walau bagaimanapun, ada juga peniaga terpaksa membeli barangan keperluan mereka dalam kuantiti yang sedikit dan ada yang terpaksa membeli walaupun mahal kerana ia adalah barangan keperluan harian perniagaan mereka.