PUTRAJAYA: Harga borong semasa 5G kurang daripada 20 sen setiap gigabait (GB) perlu dikekalkan, walaupun berlaku perubahan kepada struktur Digital Nasional Bhd (DNB), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata DNB akan dikawal selia kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) termasuk aspek kualiti dan kesinambungan, dan MCMC akan menguruskan soal penentuan harga secara rundingan dengan pihak terbabit khusus DNB.

"Kita tak nak berlaku perubahan menyebabkan kos jadi tinggi dan bebankan pengguna," katanya dalam sidang media bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai DNB, dalam pelaksanaan 5G di sini hari ini.

Putrajaya memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN), serta membuka ruang kepada syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB.

Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa kerajaan yang kini memiliki 100 peratus ekuiti DNB, menawarkan sehingga 70 peratus pegangan ekuiti DNB kepada syarikat telekomunikasi Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang komited kepada perjanjian akses untuk perkhidmatan borong.

Annuar berkata sasaran kerajaan ialah kos 5G adalah lebih murah dari 4G.

Menurutnya, sebelum ini syarikat-syarikat membina prasarana masing-masing dan berlaku pertindihan, sekali gus menyebabkan pelaksanaan tidak efisien serta kos yang tinggi ditanggung syarikat.

"Sekarang ini teknologi terkini 'Multi-Operator Core Network' (MOCN) yang ada membolehkan satu menara itu dikongsikan sampai enam syarikat.

"Bayangkan betapa banyak penjimatan yang boleh dilakukan dan merendahkan kos yang akan ditanggung oleh pengguna. Sasaran kita 5G nanti biar lebih murah dari 4G," katanya.

Annuar berkata dalam melaksanakan 5G, kerajaan tampil menerajui usaha tersebut dengan mengajak syarikat telekomunikasi untuk berada dalam satu platform, atas nama DNB.

Ditanya mengenai pengagihan spektrum untuk 5G, Annuar berkata ia tidak diagihkan kepada syarikat, sebaliknya diberikan kepada DNB yang dimiliki pelbagai syarikat.

-- BERNAMA