Skip to main content

Malaysia

Harga minimum getah RM5 sekilogram sebelum akhir tahun 2027 - Ahmad Zahid

Zahid Hamidi, RISDA_Astro AWANI
Ahmad Zahid bercakap kepada media pada Program Konvensyen Pekebun RISDA Zon Tengah Tahun 2026, di sini, pada Selasa. - Foto Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pengurusan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mencari mekanisme bagi memastikan harga minimum getah mencecah RM5 sekilogram menjelang akhir tahun 2027.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) ia sebagai usaha meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi lebih 508,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.

“Pada akhir tahun 2027… cari jalan pastikan harga minimum getah RM5. Itulah harga yang bermaruah.

“Itulah harga yang boleh mempertingkatkan status sosioekonomi pekebun-pekebun kecil.

“Ini arahan yang mesti dilaksanakan oleh pengurusan RISDA untuk terus membela nasib pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Konvensyen Pekebun RISDA Zon Tengah Tahun 2026, di sini, pada Selasa.

Menurut Ahmad Zahid, usaha meningkatkan harga getah tidak boleh hanya bergantung kepada turun naik pasaran komoditi dunia, sebaliknya memerlukan campur tangan kerajaan melalui strategi pemasaran dan pembangunan industri hiliran.

Sehubungan itu, beliau berkata RISDA akan diperkasakan sebagai pembeli utama getah bagi memberi pilihan pasaran yang lebih baik kepada pekebun kecil selain membantu menstabilkan harga.

Pada masa sama, kerajaan mahu mengurangkan kebergantungan kepada penjualan getah mentah dengan memperluaskan aktiviti hiliran.

Ia termasuk menghasilkan produk separuh siap dan produk akhir yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

“Saya telah mengadakan koordinasi dengan pihak pengurusan tertinggi RISDA supaya kita sendiri menjadi pembeli getah utama.

“Yang keduanya kita mesti kreatif untuk menghasilkan produk-produk daripada bahan getah… kita tidak seharusnya menjual bahan getah secara mentah tetapi semi-product atau end product supaya harganya dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut mempergiatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelaksanaan program penanaman semula getah tua.

Menurutnya, pokok getah yang ditebang tidak akan dibazirkan, sebaliknya diproses menjadi kayu getah untuk industri perabot menerusi anak syarikat RISDA, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada agensi itu.

Katanya, hasil daripada industri kayu getah berkenaan boleh dijadikan stok penimbal bagi membantu mengekalkan pendapatan pekebun kecil sekiranya harga getah di pasaran antarabangsa merosot.

“Semua penghasilan itu dapat menampung jika berlaku harga yang anjal di peringkat pasaran getah antarabangsa… supaya apabila harga turun kita tetap dengan harga yang sebegitu (RM5 sekilogram),” katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement