KUALA LUMPUR: Harga purata bagi pangsapuri baharu di Malaysia mencecah RM582,887 pada suku pertama 2024 manakala purata harga jualan bagi kediaman sekunder bernilai RM521,614, menurut kumpulan teknologi hartanah Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Kashif Ansari berkata, harga purata ini lebih tinggi berbanding harga yang dilaporkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) untuk 2023 iaitu RM467,144.

"Kami yakin kelainannya terarah kepada gabungan hartanah yang dijejaki dan dalam tempoh masa yang sedikit berbeza," katanya dalam kenyataan susulan pelancaran Laporan Pasaran Jualan Kediaman suku pertama 2024 Juwai IQI bagi Malaysia hari ini.

Laporan itu adalah berdasarkan analisis lebih daripada 70,000 jualan kediaman dalam pasaran sekunder dan projek baharu di seluruh Malaysia sejak 2018.

Menurut Kashif, Kuala Lumpur memegang rekod sebagai hartanah paling mahal di negara ini dengan purata harga rumah sekunder bernilai RM801,557 manakala rumah baharu secara perbandingannya adalah lebih mampu milik dengan harga purata RM708,462.

"Selepas Kuala Lumpur, tiga negeri dengan rumah sekunder paling mahal adalah Sarawak, Sabah dan Johor. Tiga negeri seterusnya dengan harga termahal bagi jualan rumah baharu adalah Johor, Sabah dan Kedah," katanya.

Kashif berkata Terengganu mencatat harga paling murah bagi kediaman sekunder dengan harga purata sebanyak RM293,714, diikuti Perak, Kedah dan Pahang.

Melaka adalah negeri yang menjual unit baharu paling murah dengan harga purata RM305,463, diikuti Pahang, Perak dan Kelantan.

Sementara itu, Kashif berkata kebanyakan pembelian rumah berlaku dalam julat harga yang lebih rendah, dengan lebih separuh daripada pembeli unit baharu membayar RM500,000, dan satu perempat daripada pembeli membayar lebih RM750,000 untuk unit baharu pada suku pertama 2024.

"Di pasaran sekunder, anda melihat taburan yang sama, dengan hampir separuh daripada pembeli memperuntukkan RM500,000 ke bawah. Ini berita yang baik bahawa pembeli rumah mampu milik boleh mencari rumah yang menarik untuk dibeli.

"Ini bermakna pasaran menyediakan perumahan yang banyak untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah serta seimbang dengan penawaran yang mencukupi untuk pembeli di semua paras harga," katanya.

-- BERNAMA