Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 19 sen kepada RM2.60 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 11 Okt.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan berdasarkan pengiraan mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh tersebut masing-masing sepatutnya RM2.30 seliter dan RM2.34 seliter.

"Ini menunjukkan penurunan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.49 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.39 seliter.

"Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 5 Okt 2019 sehingga 11 Okt 2019 adalah berjumlah RM101.52 juta.

-- BERNAMA