KUALA LUMPUR:Harga runcit petrol RON95, RON97, diesel naik 3 sen berkuat kuasa 12 Disember hingga 18 Disember ini.

Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, harga runcit RON95 yang sebelum ini RM1.70 seliter dinaikkan kepada RM1.73 seliter sepanjang tempoh berkenaan.

Sementara harga runcit bagi RON97 dinaikkan kepada RM2.03 seliter berbanding RM2 seliter sebelum ini.


Kementerian tersebut juga mengumumkan peningkatan harga runcit diesel iaitu daripada RM1.90 seliter kepada RM1.93 seliter.



Kementerian Kewangan berkata ia berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata kementerian itu lagi.