BAPA adalah antara individu paling penting dalam kehidupan kita. Selepas ibu, bapa merupakan orang yang bertanggungjawab membesarkan dan mencorakkan kehidupan awal kita.

Justeru, sambutan Hari Bapa yang jatuh hari ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menghargai jasa dan pengorbanan golongan bapa.

Umumnya, ramai daripada kita terlepas pandang betapa tinggi dan besarnya jasa seorang bapa. Maka tidak hairanlah ada yang menganggap Hari Bapa tidak sepenting Hari Ibu.

Kami senaraikan empat perkara yang dilakukan seorang ayah, tetapi kebanyakan daripada kita tidak menyedarinya.

1. Sumber kewangan

Satu 'fungsi' bapa yang mudah disedari ramai. Nak duit, minta dengan ayah. Tetapi pernahkah kita terfikir apa yang dilalui seorang ayah untuk membawa pulang rezeki untuk dinikmati keluarga? Tekanan kerja, tekanan di jalan raya dan tekanan untuk membahagikan perbelanjaan agar mencukupi?


2. Ikon paling berpengaruh

Jika anda seorang lelaki, anda belajar untuk menjadi lelaki budiman daripada ayah anda. Jika anda seorang perempuan, anda akan mahukan teman hidup yang, jika tak seratus peratus serupa, mungkin 50 peratus menyerupai karakter ayah anda.

Hal ini tak terjadi kepada ibu. Buktinya, jarang kita dengar lelaki mahukan isteri yang serupa ibunya.


3. Sumber pengetahuan

Apa yang anda tahu hari ini, kebanyakannya adalah daripada bapa. Tak kisahlah isu politik, sukan atau kehidupan secara amnya. Cuma bab artis dan drama TV sahaja yang ayah anda mungkin tak tahu.


4. Guru disiplin

Dalam banyak keluarga, bapa adalah guru disiplin yang membentuk perilaku anak-anak. Jika si bapa tegas orangnya, kemungkinan untuk anak-anaknya menjadi berdisiplin sangat tinggi. Cara pemakaian, time-keeping, manners; kebiasaannya dibentuk oleh seorang ayah.