MALAYSIA
Hari Kebangsaan: Lebih 4,000 daftar kelahiran sebagai Anak Merdeka Malaysia

Jaafar berkata, sambutan kali ini lebih terbuka apabila ahli keluarga terdekat yang turut berkongsi tarikh lahir yang sama turut dijemput. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lebih 4,000 rakyat Malaysia yang dilahirkan pada tarikh bersejarah 31 Ogos dan 16 September telah mendaftar sebagai Anak Merdeka Malaysia menerusi inisiatif Arkib Negara Malaysia.
Ringkasan AI
- Lebih 4,000 rakyat Malaysia lahir pada 31 Ogos dan 16 September mendaftar sebagai Anak Merdeka Malaysia melalui inisiatif Arkib Negara sejak 23 Julai lalu.
- Sambutan Anak Merdeka 2025 dianjurkan dengan pendekatan baharu yang lebih inklusif, melibatkan kerjasama Pavilion Damansara Heights dan rakan strategik sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
- Program ini bertujuan memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat, selain mengeratkan silaturahim antara peserta dan keluarga yang berkongsi tarikh lahir bersejarah.
Namun tahun ini, pendekatan baharu diambil bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat di seluruh negara untuk menyertai program ini.
“Sambutan Anak Merdeka yang dianjurkan Arkib Negara Malaysia sejak tahun 1994 kembali dengan edisi 2025 yang lebih meriah.
"Tahun ini, acara diadakan dengan kerjasama Pavilion Damansara Heights dan rakan strategik lain sempena sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Sambutan Anak Merdeka 2025 di sebuah pusat membeli-belah di Damansara, pada Ahad.
Jaafar berkata, sambutan kali ini lebih terbuka apabila ahli keluarga terdekat yang turut berkongsi tarikh lahir yang sama.
“Sambutan kali ini diadakan khusus bagi meraikan mereka yang lahir pada 31 Ogos di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Ahli keluarga turut dijemput bagi mengeratkan silaturahim dan menambah kenalan antara mereka bagi meraikan tarikh penuh makna itu.
“Arkib Negara turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara yang menyalurkan peruntukan, selain sokongan padu daripada pelbagai rakan strategik yang memastikan penganjuran berjalan lancar.
“Dengan penglibatan sebegini yang membabitkan Anak Merdeka dari seluruh negara, acara ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
"Tetapi dalam masa sama saya berharap sambutan ringkas ini dapat mengukuhkan semangat perpaduan serta jalinan kebersamaan rakyat Malaysia,” katanya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami