Sambutan Hari Kebangsaan tetap perlu diraikan sekalipun negara masih diancam pandemik COVID-19 bagi memastikan rakyat sentiasa mengingati pengorbanan generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Baginda juga mengingatkan rakyat sebagai pewaris masa depan agar tidak lalai atau mengambil mudah dalam memastikan negara kekal merdeka dan aman.

"Sehubungan itu, elakkan sebarang isu sensitif dan fitnah-memfitnah yang menimbulkan kegusaran dan pergaduhan dalam kalangan rakyat di negara ini," titah baginda bersempena sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Perlis di Dewan Wawasan dekat sini malam tadi.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Perlis juga mengajak rakyat menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini iaitu 'Malaysia Prihatin' agar lebih peka terhadap mereka yang memerlukan bantuan, khususnya yang terkesan oleh COVID-19.

"Nilai murni ini sewajarnya sentiasa disuburkan dalam segenap aspek kehidupan dalam kalangan rakyat negara ini tanpa mengira pangkat, darjat, kedudukan mahupun bangsa dan agama," titah baginda.

-- BERNAMA