IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyantuni sembilan ‘wira negara’ bekas anggota keselamatan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2023, pada Khamis.

Mereka terdiri daripada tujuh Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta masing-masing seorang pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Pada majlis berkenaan Sultan Nazrin berkenaan menyampaikan Sijil Wira Negara dan sumbangan wang tunai bernilai RM1,000 kepada setiap seorang penerima.

Penghargaan itu diadakan bagi mengenang jasa dan sumbangan yang dicurahkan mereka kepada negara sepanjang tempoh berkhidmat sebagai anggota keselamatan.

Ia disampaikan pada majlis jamuan teh dan penyampaian hadiah selepas selesai majlis sambutan Hari Kebangsaan di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Khamis.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin berkenaan menyampaikan johan kawad kaki kategori jabatan kerajaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri sempena perbarisan Hari Kebangsaan 2023 pagi tadi.

Tempat kedua disandang Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak manakala tempat ketiga dimenangi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) muncul johan kawad kaki kategori pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diikuti Lembaga Air Perak (LAP) tempat kedua, dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di tempat ketiga.

Bagi kategori pejabat tanah dan daerah (PTD) pula, tempat pertama dimenangi Kinta, kedua Kuala Kangsar dan ketiga Perak Tengah.

Sekolah Raja Perempuan Taayah memenangi kategori institusi pendidikan awam/swasta/sekolah , dan diikuti Sekolah Izzuddin Shah di tempat kedua dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tempat ketiga.

Sementara itu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) SMK Nan Hwa berjaya memenangi anugerah sama bagi kategori pancaragam, SMJK Sam Tet Ipoh naib juara dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak tempat ketiga.

Bagi kategori pakaian terbaik, kontinjen MBI juga muncul sebagai johan, sementara LAP dan PPPNP masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Johan setiap kategori menerima wang tunai RM5,000, kedua RM3,000 dan ketiga RM2,000 berserta hadiah iringan.