Perintah Kawalan Pergerakan memasuki hari ketiga hari ini dan diharap orang ramai lebih akur dengan arahan itu bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Selepas hari pertama dengan hanya kira-kira 60 peratus yang mengikuti arahan itu, tindakan segera telah diambil pihak penguatkuasaan terutama polis dengan mengadakan sekatan jalan raya dan memberi nasihat kepada orang ramai sejak malam hari pertama penguatkuasaan perintah itu.

Kesedaran tentang pentingnya Perintah Kawalan Pergerakan masih perlu ditingkatkan kerana masih ramai yang tidak mempedulikannya berkemungkinan kerana sikap degil dan keras kepala atau tidak menyedari perbuatan itu boleh menyebabkan 'episod' jangkitan wabak COVID-19 berpanjangan dan semakin serius.

Ada yang masih bersantai di kedai makan dan tidak kurangnya mengambil kesempatan tempoh 14 hari yang diberikan untuk membawa keluarga bercuti dan balik ke kampung sedangkan tujuan sebenar perintah itu dikeluarkan adalah untuk memastikan rakyat kekal di rumah sekali gus memutuskan rangkaian jangkitan virus itu.

BACA: Perintah Kawalan Pergerakan: Soalan lazim kepada sektor penerbangan, Malaysia Airports

BACA:
Waktu operasi restoran 24 jam di Kuala Lumpur seperti biasa

Perintah yang berkuat kuasa selama 14 hari mulai Rabu antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara, selain penutupan semua rumah ibadat dan premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai bahawa kerajaan mungkin terpaksa menggunakan khidmat anggota tentera jika masih ramai yang enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan itu.

"Kita berbincang kemungkinan besar jika keadaan masih lagi tidak dapat dikawal sepenuhnya... kemungkinan tentera... kemungkinan akan digunakan.

"Jadi sebelum tentera digunakan saya percaya mungkin tak perlu, tetapi jika tak ada pilihan pematuhan masih kekal setakat 60 peratus dan 70 peratus, saya percaya kemungkinan besar tentera akan digunakan," katanya.

Untuk memastikan pematuhan itu juga, Polis Diraja Malaysia telah melakukan sebanyak 504 sekatan jalan di seluruh negara dan sebanyak 6,135 kenderaan diperiksa.

"Setakat hari ini, pihak polis telah mengambil tindakan berhemah dengan menasihati sahaja dan saya percaya kalau pematuhan ini masih tidak meningkat saya percaya pihak polis terpaksa gunakan undang-undang dan mengenakan tindakan yang lebih tegas lagi," kata Ismail Sabri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador juga telah mengarahkan kesemua Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah dan Ketua Balai Polis di seluruh negara untuk membuat sekatan jalan raya bagi memastikan orang ramai mengurangkan pergerakan mereka.

Abdul Hamid memaklumkan pihaknya bersedia mengambil tindakan drastik serta-merta jika orang ramai gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan seramai 8,600 anggota di seluruh negara terlibat dalam OP COVID-19 yang menumpukan di kawasan tumpuan orang ramai.

-- BERNAMA