Skip to main content

Malaysia

Hari Malaysia 2026: Kelayakan BUDI Diesel boleh dipindah kepada tiga kenderaan

KUCHING, 16 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kerajaan benarkan pemilik lebih satu kenderaan diesel memindahkan subsidi BUDI Diesel kepada maksimum tiga kenderaan, berkuat kuasa serta-merta kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menambah baik pelaksanaan Program BUDI Diesel dengan membenarkan pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel memindahkan kelayakan subsidi kepada maksimum tiga kenderaan, berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat susulan maklum balas yang diterima khususnya daripada rakyat serta wakil rakyat di Sabah dan Sarawak yang berdepan isu berkaitan pemilikan beberapa kenderaan diesel dalam satu isi rumah.

“Kerajaan bersetuju untuk menambah baik BUDI Diesel. Pertama, kemudahan pemindahan kelayakan diperluas kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak dan tidak lagi terhad kepada ahli keluarga terdekat.

“Kedua, pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel dibenar memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan kepada maksimum tiga kenderaan. Ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan itu merupakan tambahan kepada pengumuman sebelum ini yang meningkatkan kuota subsidi diesel bagi pemilik pikap dan kenderaan pacuan empat roda diesel di Sabah dan Sarawak daripada 300 liter kepada 400 liter sebulan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Rabu.

Menurut Anwar, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh rakyat serta pemimpin di Sabah dan Sarawak berhubung pelaksanaan subsidi diesel bersasar.

Katanya, kerajaan akan terus menambah baik dasar sedia ada bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan rakyat tanpa menjejaskan usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara.

Anwar turut menegaskan kerajaan kekal komited memastikan manfaat subsidi sampai kepada golongan yang layak walaupun berdepan tekanan kenaikan harga minyak mentah global.

Must Watch Video

Advertisement