KUALA LUMPUR: Suasana hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi 401,105 pelajar di seluruh negara hari ini berjalan lancar kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Jidin.

Menurut Mohd Radzi, pentadbiran kesemua sekolah juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan norma baharu dalam suasana negara masih dibelenggu oleh masalah pandemik COVID-19.

"Hari ini merupakan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) di mana calon menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu (Kertas 1). Peperiksaan SPM pada tahun ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya," kata Mohd Radzi dalam hantaran di Facebook peribadinya.

Mohd Radzi juga memaklumkan, beliau bersama-sama dengan Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan turut melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian pada pagi Isnin bagi meninjau perjalanan hari pertama peperiksaan SPM.

"Keadaan teratur dan peperiksaan berjalan dengan lancar," kata beliau lagi.

Datuk Radzi Jidin menyapa seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian yang juga calon peperiksaan SPM. - Gambar Facebook RADZI JIDIN

Dalam hantaran yang sama, Mohd Radzi turut mendoakan yang terbaik kepada kesemua pelajar yang menduduk peperiksaan SPM dan SVM 2020.

Hari pertama peperiksaan SPM dan SVM di seluruh negara dimulakan dengan peperiksaan subjek Bahasa Melayu (Kertas 1) pukul 8 pagi manakala pada sesi petang pula untuk Bahasa Melayu (Kertas 2).

Sebanyak 3,310 pusat peperiksaan SPM mengikuti garis panduan dan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

BACA: SPM 2020: 401,105 calon mula duduki peperiksaan dalam norma baharu